
Beliau mendakwa, BN mempergunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tujuan itu.
“BN sudah tidak tahu nak buat apa,” katanya pada ceramah di Larkin, malam tadi, merujuk kepada maklum balas gabungan itu berhubung pendedahannya berkait projek kerajaan.
“Jadi, mereka hantar SPRM ke pejabat saya dan soal siasat budak-budak saya selama dua hari.”
Semalam, Rafizi mendakwa SPRM menyerbu syarikat datanya, Invoke Solutions Sdn Bhd. Serbuan itu merupakan kali kedua dalam tempoh kurang 24 jam.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Pandan itu, berkata beliau tidak kisah disiasat kerana pernah “keluar masuk lokap”. Beliau juga mendakwa SPRM melakukan pembulian susulan menyoal siasat kakitangannya selama lapan jam.
Katanya, BN kini dalam keadaan cukup terdesak untuk mencari “peluru” kerana sedar akan tumpas pada pilihan raya umum kali ini.
“Kerana saya berada di barisan hadapan (PH) dalam kempen menentang Umno, BN dan Perikatan Nasional, saya faham motif di sebalik siasatan,” katanya.
Minggu lalu, SPRM dilaporkan menyiasat pengisytiharan aset dibuat Rafizi selepas menerima laporan yang mendesak agensi itu menyiasat Invoke secara terperinci.
Rafizi mengisytiharkan aset bersihnya berjumlah RM18,851,350, setakat 31 Okt.
Baru-baru ini, beliau mendakwa Kementerian Alam Sekitar dan Air menganugerahkan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion secara runding terus kepada syarikat berkait Umno.
Beliau juga mendakwa seorang ahli perniagaan yang dikaitkan dengan aplikasi MySejahtera adalah orang di belakang firma yang menerima bayaran untuk perkhidmatan teknikal dalam projek kapal tempur pesisir (LCS).