
Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif menjatuhkan hukuman itu terhadap Burhanuddin Hussain, 41, yang bekerja sebagai pendawai elektrik dan dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda.
Tertuduh didakwa dengan niat melakukan khianat itu di tepi Jalan Kampung Alor Parit, Jalan Bukit Raya di Pendang antara 10 pagi hingga 11.30 pagi, pada 14 Nov mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, peguam Siti Sabirah Ramli dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili Burhanuddin memohon hukuman ringan atas alasan tertuduh seorang duda dengan pendapatan RM1,200 sebulan selain perlu menyara seorang anak perempuan berusia 17 tahun, dan ibu, 77 tahun.
Timbalan Pendakwa Raya Asmaa’ Zamri memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal memandangkan kes itu berkepentingan awam.
Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Wan Hassan Wan Ahmad dalam kenyataan berkata polis menerima maklumat daripada orang awam berkenaan satu insiden amuk melibatkan seorang lelaki dengan menggunakan sebilah parang kira-kira 11.30 pagi pada 14 Nov lepas.
Beliau berkata lelaki itu kemudian berjaya ditahan dan hasil siasatan mendapati suspek tidak terlibat atau menyertai mana-mana parti politik.
“Justeru, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan kegusaran, permusuhan atau menggugat ketenteraman awam.
“Polis Kedah akan sentiasa peka dan respon ke atas perlakuan jenayah seperti ini terutamanya semasa tempoh berkempen PRU15,” katanya.