
Tong Kooi Ong ketika memberi keterangan memberitahu, penerbitan kewangan itu menyiarkan banyak berita baharu mengenai skandal 1MDB ketika Najib masih perdana menteri.
Akibatnya, kata Tong, kerajaan menggantung akhbar itu selama tiga bulan pada Julai 2015 namun arahan berkenaan dibatalkan Mahkamah Tinggi pada tahun sama.
“Paul (Stadlen) memberi amaran kepada saya bahawa PMO (Pejabat Perdana Menteri) ‘berkuasa’ dan beliau harus berhati-hati,” kata Tong. Stadlen adalah bekas penasihat media Najib.
Tong menjawab soalan diajukan kepadanya oleh Pendakwa Ad hoc, Gopal Sri Ram berkaitan liputan berita 1MDB oleh akhbar itu.
Beliau juga memberitahu mahkamah mengenai satu pertemuannya dengan Najib di kediaman bekas perdana menteri itu di Langgak Duta.
Katanya, pertemuan itu diatur tidak lama selepas beliau bercakap dengan bekas Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim.
“(Azeez) meminta saya berkongsi dengan (Najib) apa yang saya tahu mengenai 1MDB,” katanya.
Tong berkata, Najib kelihatan penat ketika mereka bertemu pada 6 Mac 2015.
“Kami duduk di ruang tamu. Najib kemudian menyatakan pandangannya bahawa artikel The Edge mengenai 1MDB adalah salah.
“Beliau menerangkan kepada saya 1MDB berhutang terlalu banyak dan ada masalah membayar hutang,” kata Tong.
Tong berkata, beliau bangun lalu duduk di sebelah Najib dan menunjukkan kepada bekas perdana menteri itu nota dan juga salinan emel daripada bekas pengarah PetroSaudi, Xavier Justo.
Salah satu emel itu menyatakan PSI (PetroSaudi International) adalah sebuah syarikat swasta dan bukannya dimiliki oleh kerajaan Arab Saudi.
“Saya terangkan kepada Najib daripada USD1 billion yang 1MDB laburkan dalam usaha sama dengan PSI, USD700 juta pergi kepada Good Star Limited,” katanya.
Katanya, penerima wang itu adalah syarikat milik ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low.
Kata Tong, bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi menerima arahan daripada Low.
“Saya beritahu (Najib) apa yang Jho Low lakukan adalah salah dan lelaki itu perlu dihukum.
“Beliau (Najib) terus bangun dan membuka pintu meminta saya pergi,” kata Tong.
Katanya, The Edge terus menyiarkan laporan mengenai 1MDB selepas pertemuan dengan Najib.
Akibatnya, Jahabar Sadiq yang ketika itu menjadi editor The Malaysian Insider dan beberapa wartawan daripada portal berita itu disiasat serta ditahan selama satu malam.
“Saya dihalang dari meninggalkan Malaysia dan disiasat LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) kerana pengubahan wang haram dan mengelak cukai,” katanya.
Najib berdepan perbicaraan 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Feb 2011 dan Dis 2014.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.