
Menurut Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, Peraturan 11(6), SPR boleh menetapkan tarikh baru yang berasingan sekiranya ada calon yang meninggal dunia.
Hari ini, calon Pakatan Harapan untuk kerusi Parlimen Padang Serai, M Karupaiya dilaporkan meninggal dunia pada usia 69 tahun.
Timbalan Ketua PKR Negeri Pulau Pinang, Bakthiar Wan Chik memberitahu FMT, menurut keluarga mendiang, Karupaiya meninggal dunia akibat masalah jantung.
Ketua Polis Daerah Kulim, Redzuan Salleh berkata, Karupaiya menghembus nafas terakhir pada jam 2.27 petang tadi di Hospital Kulim.
Karupaiya yang mempertahankan kerusi itu untuk penggal kedua berdepan saingan enam penjuru apabila dicabar calon Barisan Nasional, C Sivarraajh, Azman Nasrudin daripada Perikatan Nasional, Hamzah Abdul Rahman (Pejuang), Bakri Hashim (Warisan) dan calon bebas, Sreanandha Rao.
Ahli PKR itu memenangi kerusi Parlimen berkenaan pada pilihan raya umum 2018 selepas menewaskan Leong Yong Kong daripada MCA dan calon PAS, Sobri Osman.