
Ain Batrisyia Masram, 20, berkata, walaupun tinggal di kawasan luar bandar tidak bermakna dia tidak mengetahui berkenaan isu semasa termasuk masalah rasuah, politik, ekonomi dan sebagainya kerana semua maklumat tersebut kini hanya di hujung jari.
Menurutnya, sebagai anak muda dia tidak mahu berada ditakuk lama dan bersedia untuk memilih parti baru dengan harapan ada perubahan yang lebih baik.
“Saya ada pilihan sendiri dan tidak mengikut apa yang ibu bapa undi, saya melihat golongan muda kini mereka tahu isu semasa, hal politik dan siapa ambil rasuah melalui media sosial, kami memerhati apa yang berlaku.

“Pada pandangan saya tidak salah bagi peluang pada parti baharu untuk melihat perubahan yang lebih baik. Golongan muda juga berhak membuat pilihan kerana kami tidak mahu parti yang mempunyai calon yang ada melakukan kesalahan,” katanya kepada FMT.
Turut bersemangat untuk mengundi buat kali pertama, Ravindraan, 20, berkata, apabila diberi peluang untuk memilih dia pastinya tidak akan melepaskan peluang ini kerana baginya undi anak muda adalah penentu.

Ujarnya, meskipun tidak dinafikan ada dalam kalangan anak muda berusia 18 tahun atau yang seusianya tidak begitu cakna berkenaan isu pentadbiran dan mudah terpengaruh namun mereka masih ada hak untuk memilih.
“Pada saya usia 18 tahun ramai yang belum cukup matang untuk buat pilihan, mungkin ada memilih undi mengikut kawan-kawan atau mengikut arahan ibu bapa mereka.
“Tetapi bagi saya ia tak perlu jadi isu sebab mereka sudah dapat hak untuk mengundi, sebab bukan semua anak muda tak ambil tahu,” ujarnya.
Sementara itu, Mahathir Salimi, 19, pula berkata, dia teruja untuk mengundi namun masih keliru siapakah wakil rakyat yang perlu dipilih kerana sebelum ini anak muda seusianya hanya mengikut sahaja dan tiada peluang untuk memilih.
Katanya, bagi pandangan kebanyakan anak muda, mereka melihat dunia politik hanyalah medan mencari salah sesama ahli politik sendiri sehingga membelakangan isu yang patut diberi keutamaan.

“Kami anak muda mahukan keamanan, keharmonian dan kekukuhan ekonomi dalam negara. Bukan pertengkaran atau pelbagai masalah atau mengungkit kesalahan pemimpin lain.
“Saya mengharapkan parti yang menang akan melaksanakan tugas dengan baik, seperti meningkatkan internet yang laju dekat kawasan luar bandar seperti di Bagan Datuk ini dan peluang pekerjaan yang menjamin masa depan generasi muda di luar bandar,” katanya.
Pada 16 Julai 2019, negara melakar sejarah apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik, dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.
PRU15 menyaksikan penambahan sebanyak 7.8 juta pengundi baharu dan daripada jumlah itu, 3.8 juta mewakili golongan muda berusia 18 tahun, sekali gus menunjukkan jumlah pengundi baharu mewakili 34 peratus daripada keseluruhan pengundi.