
Memenangi hati orang Melayu, yang membentuk 64% daripada pengundi di ibu negeri Kedah itu, adalah antara cabaran bagi PH.
Simon Ooi berkata, pengundi Melayu, seperti orang lain, sedang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup dan kenaikan gaji yang perlahan.
Inilah sebabnya kempennya tertumpu kepada menambah baik ekonomi Alor Setar, termasuk memastikan penjaja mendapat akses kepada tapak terbaik untuk menjalankan perniagaan di bandar, katanya.
ADUN dua penggal Bakar Arang daripada PKR itu juga mempunyai sasaran membawa masuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk membangunkan kilang mereka di Alor Setar bagi mewujudkan peluang pekerjaan.
“Berhubung pendidikan, saya cadangkan (penubuhan) institusi pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) di Alor Setar,” katanya.
Langkah ini akan membuka jalan kepada peningkatan kemahiran dan peluang pendapatan lebih baik, tambahnya.
Beliau juga akan mendesak ke arah pembinaan lebih banyak rumah mampu milik di kawasan itu, katanya.
Ooi berkata, beliau juga telah mengadakan libat urus dengan pesawah padi di Alor Setar berhubung janji manifesto PH untuk memperbaharui sistem penyampaian subsidi padi, meningkatkan subsidi padi, dan komitmen terhadap pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan.
Sementara itu, beliau mempertikaikan dakwaan pesaingnya di kerusi itu, Tan Chee Hiong daripada MCA, bahawa beliau tidak dapat berkhidmat kepada penduduk dengan berkesan kerana beliau “orang luar”.
Katanya, walaupun beliau bukan “anak tempatan”, beliau bekerja dengan masyarakat Alor Setar semasa berkhidmat sebagai Exco ketika PH menerajui kerajaan negeri dari 2018 hingga pertengahan 2020.
“Saya bukan orang asing di sini, pengundi kenal saya dengan rapat. Rekod prestasi saya di sini terbukti,” tambahnya.
Pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), Ooi berdepan Tan, Afnan Hamimi Taib Azamuddin (Perikatan Nasional), Nuhairi Rahmat (Pejuang), Fadzil Hanafi (Warisan) serta calon bebas Nordin Yunus dan Sofan Feroza Yusup dalam pertembungan tujuh penjuru di Parlimen Alor Setar.