
Calon Barisan Nasional, Johan Abd Aziz, dan lawannya daripada Pakatan Harapan, Sany Hamzan, memasukkan ancaman banjir dalam senarai keutamaan sekiranya terpilih mewakili rakyat Hulu Langat pada PRU15.
Di sebalik perseteruan politik antara mereka, Johan dan Sany merupakan anak tempatan.
Johan menceritakan kepada FMT tentang hampir 200 yang berlindung dan bersesak di bumbung surau Nanding ketika bencana itu, yang berlaku tiba-tiba.
“Perkara ini mengajar saya untuk sentiasa bersiap sedia,” katanya ketika ditemui.

Dalam bencana yang dikatakan berlaku ‘sekelip mata’, beribu-ribu kediaman ditenggelami air di banyak kawasan di Hulu Langat, antaranya Taman Sri Nanding, Dusun Nanding, Sungai Serai, Batu 15, Batu 16, dan Kampung Jawa. Bencana itu disifatkan paling teruk dalam sejarah daerah itu.
Johan dan Sany bersetuju banjir merupakan isu utama yang dekat dengan hati pengundi, cumanya mereka menekankan pendekatan berbeza untuk menangani masalah yang sama.
Ketika calon BN berhujah tentang mengawal pembangunan di Hulu Langat – terkenal sebagai daerah “kampung di tengah bandar besar” – calon PH pula mahu lebih banyak dana untuk usaha menangani bencana, di samping pemantauan ketat ke atas peruntukan kerajaan.
“Saya akan bangkitkan soal pembangunan yang terkawal supaya tiada lagi pembalakan haram dan pencerobohan hutan secara haram,” kata Johan, yang mengambil berat isu perubahan iklim.

Sany berkata kerajaan persekutuan sepatutnya boleh memperuntukkan dana untuk pemasangan benteng dan pedalaman sungai, serta penyelenggaraan berkaitan.
“Kalau saya dipilih sebagai wakil rakyat di sini, ini akan menjadi keutamaan saya untuk membawa isu ini,” tegas Sany.
Mendekati tarikh bencana tahun lepas, Johan yang juga bekas ADUN Semenyih telah membuat persiapan untuk menghadapi kecemasan.
“Saya telah sediakan 17 bot penyelamat di DUN Dusun Tua, sekiranya berlaku untuk menyelamatkan warga emas, golongan kurang upaya,” katanya.
Pada PRU14, Parlimen Hulu Langat dimenangi calon PH dengan majoriti 25,424 undi, menewaskan bekas penyandang daripada PAS dan calon BN.
Pada PRU kali ini, Johan dan Sany turut bersaing dengan calon Perikatan Nasional, Warisan, Pejuang dan seorang calon bebas.