Tiada peruntukan perluas LTAPP dalam Bajet 2018, kata Guan Eng

Tiada peruntukan perluas LTAPP dalam Bajet 2018, kata Guan Eng

Bekas menteri kewangan mengulangi tiada dana diperuntukkan untuk pembesaran LTAPP oleh kerajaan BN ketika itu, seperti didakwa Menteri Pengangkutan sementara, Wee Ka Siong.

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng berkata sekurang-kurangnya RM700 juta diperlukan untuk projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Bajet 2018 yang dibuat kerajaan Barisan Nasional tidak mempunyai peruntukan untuk pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), kata bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng.

Dalam sidang media di sini, Lim menunjukkan jadual daripada Bajet 2018 yang menyenaraikan butiran RM34 juta diperuntukkan untuk membina dan menaik taraf lapangan terbang di Semenanjung Malaysia.

“Tidak ada sebut lapangan terbang Pulau Pinang dalam dokumen bajet secara khusus,” katanya yang berperang mulut dengan Menteri Pengangkutan sementara, Wee Ka Siong berhubung pembesaran LTAPP.

“Wee kata ada peruntukan khusus untuk lapangan terbang itu. Selain itu, RM34 juta terlalu sedikit untuk pembesaran lapangan terbang di Pulau Pinang. Apa yang diperlukan ialah RM700 juta hingga kira-kira RM1 bilion untuk pembesaran itu,” kata pengerusi DAP itu.

Baru-baru ini, Wee mendakwa Lim, sebagai menteri kewangan ketika itu, mencari rakan kongsi swasta untuk pembesaran LTAPP menerusi inisiatif pembiayaan swasta, bukannya menggunakan dana kerajaan untuk projek itu.

Lim dan rakannya dalam Pakatan Harapan (PH) membalas Wee dengan berkata, Wee membatalkan projek itu apabila beliau dilantik sebagai menteri pengangkutan selepas Langkah Sheraton pada 2020. Wee kemudian menafikannya.

Langkah Sheraton merujuk tindakan sekumpulan Ahli Parlimen yang meninggalkan PH dan menyebabkan kerajaan pimpinan gabungan itu tumbang.

Kali terakhir LTAPP dinaik taraf pada 2012 dan boleh menampung 6.5 juta penumpang setahun ketika ini.

Tetapi, LTAPP beroperasi melebihi kapasiti dengan lebih lapan juta penumpang menggunakannya setahun pada 2019 dan kerajaan PH ketika itu memutuskan untuk meneruskan projek pembesaran berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Lim bertanyakan Wee jika Prasarana Malaysia Bhd, yang mengendalikan LRT Laluan Kelana Jaya, akan dikenakan penalti atas gangguan perkhidmatan minggu lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.