
Katanya, peranan BNS dalam industri pertahanan jauh melangkaui pembinaan LCS.
“BNS memainkan peranan besar dalam ekosistem industri pembinaan kapal tentera laut. Mereka membantu membangunkan ratusan vendor tempatan dan ribuan bakat untuk Malaysia.
“Ia termasuk pereka bentuk, jurutera, juruteknik dan pelbagai lagi tenaga pakar. Semua ini mewujudkan peluang pekerjaan, menjana perniagaan lain, pembinaan infrastruktur dan banyak lagi yang membawa manfaat kepada industri, ekonomi dan pembangunan sosial kepada negara bagi tempoh panjang,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama FMT.
Kamarulzaman berkata, sekiranya projek pembinaan kapal perang diserahkan “setiap kali” kepada syarikat asing, BNS tidak akan terus mapan atau beroperasi dan dalam tempoh panjang tidak mampu menyokong dan menyumbang industri pembinaan kapal tentera laut di Malaysia.
Katanya, penangguhan dalam perolehan pertahanan membabitkan aset ketenteraan bukan sesuatu yang janggal, sambil mengimbau pengalamannya dalam projek kapal tempur di Scotland, United Kingdom, pada awal 90-an.
“Pembinaan kapal berkenaan yang sepatutnya selesai dalam masa empat tahun mengambil masa lapan tahun, namun kita berjaya menuntut kos pampasan,” katanya sambil menambah beliau bangga kapal yang diberi nama, KD Lekiu dan KD Jebat masih gah berkhidmat dan terus menjadi kebanggaan tentera laut walaupun sudah mendekati 30 tahun.
Kamarulzaman berkata, beliau kecewa kerja-kerja membabitkan LCS berjalan “perlahan” selepas perubahan kerajaan susulan siasatan dilakukan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan.
Jawatankuasa itu diketuai bekas ketua audit negara, Ambrin Buang.
“Projek itu patut berjalan seiringan dengan siasatan.
“Apabila ada yang sakit, keutamaan adalah untuk sembuh, anda tidak mencari alasan mengapa mereka jatuh sakit.”
Bulan lalu, Laksamana Reza Mohd Sany, berkata pembinaan LCS akan kembali bersambung awal tahun depan.
Projek LCS bagi kegunaan tentera laut teruk dikecam susulan kos dan penangguhan penghantaran.