Saya tak bayar pengundi untuk pulang undi, kata Ku Nan

Saya tak bayar pengundi untuk pulang undi, kata Ku Nan

Calon BN Putrajaya itu membuat laporan polis mengenai mesej tular di WhatsApp mendakwa pengundi luar Putrajaya akan menerima RM300, jika pulang mengundi.

Tengku Adnan Tengku Mansor bertemu pengundi di pusat pengundian awal di Putrajaya hari ini. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Satu laporan polis dibuat mengenai dakwaan pengundi luar Parlimen Putrajaya akan menerima bayaran RM300 daripada Barisan Nasional (BN), seperti yang tular menerusi aplikasi WhatsApp.

Calon BN Putrajaya, Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, laporan polis dibuat semalam berhubung penyebaran fitnah berkenaan.

“Itu adalah satu fitnah yang dilemparkan dan saya tidak buat begitu. Saya harap sesiapa yang ingin bertanding (pada pilihan raya umum ke-15) jangan main fitnah sembarangan,” katanya selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.

Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan menegaskan, BN serta dirinya tidak memberi sebarang bayaran kepada pengundi kerana ia melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Semalam, tular mesej menerusi WhatsApp yang meminta pengundi luar Parlimen Putrajaya mengisi borang tuntutan perjalanan untuk mendapatkan RM300.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, A Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung perkara itu dan kes dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk menyekat pautan borang tuntutan perjalanan daripada ditularkan.

Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN) di Parlimen itu, Radzi Jidin yang turut meninjau proses pengundian awal di lokasi itu berkata, PN akan menyediakan pengangkutan pada Sabtu ini bagi memastikan peratusan keluar mengundi di Putrajaya tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.