
Katanya, beliau dimaklumkan perkara itu selepas membuat laporan polis terhadap dua individu itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya hari ini.
“Saya dimaklumkan polis bahawa kertas siasatan sudah dibuka untuk dua kes itu di Bukit Aman,” katanya kepada wartawan.
Beliau berkata, polis juga memaklumkan dua insiden itu disiasat mengikut Kanun Keseksaan, Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 serta Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Menurutnya, beliau “baru tahu” Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya berkaitan mempromosi perasaan berniat jahat atau permusuhan semasa berkempen.
Rafizi berharap semua calon pilihan raya mengambil iktibar daripada insiden itu dan tidak terbabit dalam kempen menyentuh sensitiviti kaum.
Katanya, beliau akan mengarahkan peguam PKR untuk mengkaji semula kempen calon parti itu dan parti lawan bagi memastikan mereka tidak melanggar undang-undang.
Beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang memainkan sentimen perkauman ketika berkempen, termasuk ahli PKR sendiri.
Rafizi sebelum itu hadir membuat laporan polis terhadap Shahiful yang dilaporkan berkata, sesiapa yang mengundi Pakatan Harapan atau Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-15 akan “masuk api neraka”.
Beliau juga membuat laporan polis terhadap Zul kerana ugutan jenayah dan berniat menghasut kerana dikatakan mahu “menyembelih kafir harbi”.
Zul kemudian memohon maaf atas kenyataan yang dibuatnya di Terengganu pada 4 Nov lalu, yang videonya turut tersebar di media sosial.
Semalam, Bernama melaporkan Shahiful memohon cuti daripada tugas dan semua jawatan dalam parti.
Katanya, keputusan itu diambil secara sukarela dan bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku.