Nancy harap kembali ke Motac selepas PRU15

Nancy harap kembali ke Motac selepas PRU15

Nancy Shukri berkata banyak perkara perlu dilakukan untuk merealisasikan Malaysia sebagai destinasi menyeronokkan.

Nancy Shukri (tengah) berkata terdapat banyak lokasi tarikan pelancong yang perlu dibangunkan.
KUCHING:
Nancy Shukri berharap akan kembali menggalas portfolio pelancongan, seni, dan budaya selepas PRU15, untuk menyelesaikan misi merealisasikan Malaysia sebagai destinasi menyeronokkan.

Nancy, yang akan bertanding di Parlimen Santubong, Sarawak, percaya kebolehannya sebagai menteri masih lagi boleh dimanfaatkan.

“Jadi, jika saya dilantik semula, lagi banyak akan dilakukan oleh kementerian seperti acara menari di jalanan,” katanya.

Nancy menambah, kementeriannya baru-baru ini mempromosikan tarian khas Malaysia iaitu “Joget Malaysia”.

Pada masa sama, Nancy berkata, terdapat banyak tempat tarikan pelancong di negara ini yang perlu dibangunkan lagi.

“Sebagai contoh, di Kuching, Sarawak, bandar ini tidak punyai banyak pulau dan tidak banyak tempat yang boleh dikunjungi orang ramai berbanding Sabah.

“Oleh itu, kita perlu melihat kekuatan kita (Kuching) dan jadi lebih baik.

“Di Sarawak terdapat banyak buaya dan pada saya, haiwan ini boleh jadi tarikan pelancong,” katanya, sambil mencadangkan ia boleh dilakukan melalui aktiviti lawatan bot di sungai.

Nancy juga berkata, terdapat banyak taman geo baharu di Kuching yang perlu dipromosikan, sambil menyediakan lebih banyak akses bagi membolehkan pelancong datang melawat.

Bukan itu saja, katanya, di Kelantan, terdapat pasar terapung yang perlu dipromosikan. di samping seni dan budaya di Terengganu.

Nancy menambah penggunaan rumah bermotor atau karavan perlu digalakkan supaya pengunjung dapat mengembara dan menikmati pelbagai lokasi di Malaysia.

Sementara itu, beliau yakin Premier Sarawak Abang Johari Openg mencalonkannya untuk kerusi Santubong bagi meningkatkan lagi sektor pelancongan di kawasan itu.

“Santubong tempat terbaik untuk mempromosikan pelancongan. Kampung Budaya Sarawak pun ada. Mungkin premier mempunyai visinya sendiri sebagaimana kita boleh menambah baik Santubong,” katanya.

Nancy, yang dilahirkan di Santubong, yakin mampu memberi nilai tambah kepada kawasan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.