
Ia berikutan hantaran pakar itu di laman Facebooknya yang mengulas kejadian berkenaan, mengundang kecaman serta tuduhan melulu terhadap anak wanita yang dikenali sebagai Azlina itu.
Menurut Azlina, Sakinah sebagai penjawat awam, dengan jumlah pengikut yang ramai di media sosial, tidak sepatutnya menulis tanpa mengetahui fakta sebenar.
“Ada penulisan Sakinah Sulong, dia buat tulisan berkenaan anak saya dengan rujuk video berita TV9. Banyak komen netizen yang menghina dan menuduh … yang pada saya sangat keterlaluan. Macam mendoakan benda tak baik untuk anak saya.
“Dia menjemput orang untuk menjadi ‘keyboard warrior’. Sangat tidak bertanggungjawab, awak golongan terpelajar, awak seorang doktor sudah tentu orang cepat percaya dengan apa yang awak tulis,” kata Azlina kesal.
Sakinah dikenali di media sosial sebagai seorang yang lantang dalam memberikan pandangan berhubung isu-isu semasa yang kontroversi. Beliau juga pernah disaman fitnah oleh peneman ibu bersalin (doula), Masyitah Md Hassan berhubung isu kematian bayi di Johor Bahru.
Mahkamah Tinggi Johor Bahru memutuskan Sakinah perlu memohon maaf tanpa syarat di Facebooknya dan membayar ganti rugi RM230,000 kepada Masyitah.

“Orang macam ini (Sakinah) tak akan berhenti bersuara. Saya dah buat laporan polis di Balai Polis Kuala Terengganu,” kata Azlina.
Pegawai di Balai Polis Kuala Terengganu mengesahkan kepada FMT bahawa pihaknya telah menerima laporan berkenaan.
“Kes sedang berjalan dan kertas siasatan kini di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu,” katanya.
Pada 6 Julai, anak lelaki Azlina dikejarkan ke hospital dan disahkan patah tulang kaki selepas didakwa dihempas atas kerusi oleh guru Kafa, dalam keadaan kakinya berlipat, di sebuah sekolah di Marang.
Azlina turut membuat aduan kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung tindakan Sakinah.
Unit Komunikasi Korporat KKM kemudiannya memberi maklum balas bahawa Jabatan Kesihatan Johor akan menyiasat aduannya.
FMT sedang cuba untuk mendapatkan reaksi Sakinah, berhubung kes ini.
Azlina turut memberitahu sebutan semula kes mahkamah membabitkan guru yang menghempas anaknya itu ditetapkan 17 Nov depan, di Mahkamah Majistret Marang.