
Peguam, N Sivananthan, berkata Arul Kanda telus dan menjawab semua soalan diajukan pendakwa raya dan peguam Najib Razak sepanjang dua hari beliau dipanggil menjadi saksi.
“Beliau membuat pendedahan penuh dan benar (semua perkara). Tiada apa yang mencadangkan beliau tidak jujur.
“Tiada pun satu ketika disoal beliau teragak-agak menjawab soalan.
“Adalah tidak adil untuk pihak pendakwaan berkata Arul tidak jujur,” katanya ketika hujahan penggulungan.
Sivananthan berkata, pendakwaan boleh memulakan prosiding pendakwaan atau mengarahkan melayan Arul Kanda sebagai saksi belot sekiranya beliau tidak bercakap benar.
“Bagaimanapun, ini tidak dilakukan,” katanya.
Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib yang dituduh menyalahguna kuasa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan pada Februari 2016.
Najib dituduh menyalahgunakan kuasa bagi mendapatkan kekebalan daripada tindakan perundangan dan mengarahkan pindaan terhadap laporan audit akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). Arul Kanda dituduh bersubahat bersama Najib.
Mahkamah sebelum ini membenarkan permintaan pihak pendakwaan yang memanggil Arul Kanda memberi keterangan bagi dirinya.
Dalam keterangan itu, Arul Kanda memberitahu, Najib mengarahkannya menghadiri satu mesyuarat pada 24 Feb 2016 untuk membincangkan pindaan pada laporan audit itu.
Katanya, Najib juga melahirkan kebimbangan bahawa kandungan laporan itu digunakan dari perspektif politik.
Pendakwa Ad-hoc, Gopal Sri Ram berkata, beliau ragu sama ada Arul Kanda membuat pendedahan sepenuhnya ketika memberi keterangan.
Katanya, terpulang kepada mahkamah bagi memutuskan sekiranya Arul Kanda layak mendapat perlindungan dan dilepaskan daripada tuduhan bersubahat.
“Semuanya terletak pada beliau bagi menyakinkan mahkamah (bagi layak mendapat perlindungan dan dilepaskan daripada tuduhan bersubahat),” kata Sri Ram.
Hakim Zaini Mazlan menetapkan 30 Jan sebagai keputusan.