
Wan Junaidi berkata, semua kertas undi pos kepada anggota tentera dikeluarkan sejak Isnin lalu.
Malah katanya, ejen calon telah dimaklumkan oleh setiap pegawai pengurus pilihan raya mengenai tarikh pengeluaran undi pos.
“Ini adalah proses biasa dalam semua pilihan raya sama ada pilihan raya kecil (PRK) atau pilihan raya umum (PRU),” katanya dalam kenyataan.
“Terpulang kepada individu (anggota tentera) yang berdaftar dan menerima kertas undi pos (bila untuk menghantar undi mereka).
“Apa yang penting, kertas undi Pos perlu sampai ke pejabat pegawai pengurus berkaitan sebelum jam 5 petang pada hari pengundian 19 Nov.”
Kenyataan itu susulan dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim, bahawa anggota tentera, khususnya yang berada di Bera, telah membuang undi pada Jumaat dan dibayar RM300 setiap seorang untuk berbuat demikian.
Walaupun dikritik oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berhubung perkara itu, Anwar menegaskan beliau mempunyai bukti untuk menyokong dakwaannya, yang katanya akan diberikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Semalam, Panglima Angkatan Tentera, Affendi Buang menjelaskan proses membuang undi bagi anggota tentera yang didaftarkan sebagai pengundi pos telah bermula 7 Nov lalu.