Saya bangga dengan pencapaian Motac, kata Nancy Shukri

Saya bangga dengan pencapaian Motac, kata Nancy Shukri

Nancy Shukri berkata kementeriannya memberikan tumpuan mencari cara membantu usahawan menjana pendapatan ketika wabak Covid-19.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri berkata sektor bawah kementeriannya antara paling terjejas ketika pandemik Covid-19.
KUCHING:
Nancy Shukri amat berbangga dengan pencapaiannya sebagai menteri pelancongan, seni dan budaya sejak tiga tahun lalu, selepas mengharungi tempoh paling mencabar dalam industri itu.

Semasa pandemik Covid-19, beliau berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) telah menumpukan usaha mencari jalan untuk membantu usahawan menjana pendapatan, sambil menambah, salah satu sektor paling teruk terjejas ialah seni dan kraf.

“Apa yang kami lakukan ialah menggandakan bilangan usahawan dalam industri seni dan kraf dengan memberi latihan kepada mereka. Ini melahirkan ramai usahawan baru. Mereka juga dibayar supaya dapat menyara hidup dan memperoleh kemahiran,” katanya kepada FMT.

Nancy, yang berkhidmat dalam portfolio itu bawah dua perdana menteri juga berkata, kementerian tidak boleh “duduk diam” semasa wabak dan oleh itu, memutuskan untuk meningkatkan promosi pelancongan domestiknya.

Hasil langkah diambil, katanya, zoo, muzium dan perpustakaan di negara ini menerima lebih ramai pengunjung tempatan.

Nancy berkata, promosi tekstil Malaysia juga dititikberatkan kerana ramai yang tidak mengetahui perbezaan antara “batik” tempatan dan luar negara.

“Sasaran kami untuk jualan batik ialah RM200,000 ketika pandemik tetapi kami melepasi sasaran itu dengan memperoleh RM240,000,” katanya.

Nancy percaya, seni dan budaya Malaysia boleh dipromosikan dengan cara yang lebih besar secara global untuk menarik lebih ramai pelancong, sekali gus meningkatkan ekonomi Malaysia.

“Sebagai contoh, persada teater di Malaysia tidak dipromosikan secukupnya dan inilah menyebabkan mereka yang terlibat dalam teater jarang dilihat.

“Budaya Malaysia juga harus ditonjolkan dalam filem. Apabila kita mempunyai filem seperti ini, orang di seluruh dunia akan menonton dan belajar (tentang budaya).”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.