Kerajaan gagal lucut hak barangan mewah disita dari Pavilion Residences

Kerajaan gagal lucut hak barangan mewah disita dari Pavilion Residences

Hakim Muhammad Jamil Hussin berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) gagal untuk membuktikan barangan mewah itu ada kaitan dengan 1MDB.

Polis membawa keluar barangan mewah yang dirampas dari sebuah apartmen di Pavilion Residences di Kuala Lumpur pada Mei 2018. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan kerajaan untuk melucut hak barang kemas, jam tangan mewah dan beg tangan yang dirampas polis dari Pavilion Residences selepas pilihan raya umum 2018.

Hakim Muhammad Jamil Hussin berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) gagal untuk membuktikan pelbagai barangan mewah itu mempunyai kaitan dengan dana 1MDB.

Kerajaan mahu melucut hak barang yang dirampas dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd, empat tahun lalu. Barangan itu ialah 2,435 barang kemas, tujuh jam tangan dan 29 beg tangan.

Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin memberitahu mahkamah bahawa rayuan akan dibuat terhadap keputusan mahkamah itu.

Beliau juga memohon agar mahkamah membenarkan mereka tidak memulangkan barang-barang itu sementara menunggu proses rayuan.

Mahkamah menolak permohonan Faten untuk menangguhkan penghakiman dan tidak menyerahkan semula barangan itu sementara menunggu rayuan.

“Tidak ada keperluan untuk mahkamah membuat keputusan ke atas pihak ketiga yang menuntut (Najib Razak dan Rosmah Mansor),” katanya.

Peguam Shafee Abdullah dan Azamuddin Abd Aziz masing-masing mewakili Najib dan Rosmah, sebagai pihak ketiga.

Tahun lalu, mahkamah sama menolak permohonan kerajaan untuk melucut hak lebih RM114 juta wang tunai yang dirampas polis dari Pavilion Residences.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.