Wong Chen ada peluang menang lagi, kata pengundi Subang

Wong Chen ada peluang menang lagi, kata pengundi Subang

Mereka berkata, Ahli Parlimen dua penggal daripada PKR itu cepat menyelesaikan masalah dihadapi pengundi seperti jalan rosak dan longkang tersumbat.

Wong Chen mempertahankan kerusi Parlimen Subang yang dimenanginya dengan majoriti besar 92,353 undi pada pilihan raya umum 2018. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Calon Pakatan Harapan (PH) Subang, Wong Chen mendapat isyarat daripada pengundi yang menyatakan mereka berkemungkinan akan mengundinya semula pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), 19 Nov ini.

Suri rumah hanya dikenali sebagai Liew berkata, dia berterima kasih kepada Wong atas sumbangannya kepada penduduk di USJ1, khususnya memulihkan klinik kesihatan kerajaan di sini.

“Beliau bekerja dengan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan memulihkan projek yang dibatalkan. Ini adalah berita baik terutama warga emas yang tinggal di kawasan itu, yang tidak mampu bergerak jauh ke hospital atau klinik kerajaan lain,” katanya.

Tambahnya, Wong dan pasukannya juga cepat menyelesaikan masalah seperti jalan rosak dan longkang tersumbat yang menyebabkan banjir kilat.

“Sekiranya beliau dilantik semula, saya harap beliau meneruskan kerja baiknya dan juga mengatasi kesesakan lalu lintas di USJ1,” katanya.

Peniaga, Yahya Anuar, 48, berkata beliau gembira dengan prestasi pemimpin PKR itu dan semua yang dilakukannya untuk membantu pengundi.

“Banyak perubahan positif di kawasan itu dan ramai rakan sependapat dengan saya. Kami berpuas hati dengan khidmatnya,” katanya.

Dia yakin PH akan memenangi kerusi Subang kerana Wong mendapat sokongan ramai tidak seperti calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Wong akan berdepan saingan tiga penjuru dengan calon BN Kow Cheong Wei dan Ang Hiang Ni daripada Perikatan Nasional (PN).

Pada pilihan raya umum 2018 (PRU14), Wong menang dengan majoriti besar 92,353 undi. Beliau menang ketika kali pertama bertanding di Parlimen itu pada 2013 yang sebelum ini dikenali sebagai Kelana Jaya.

Bagi pengundi kali pertama, Priyanka Nathan, pengalaman Wong membezakannya dengan calon lain, menjadikannya pilihan terbaik untuk kawasan itu.

“Calon lain daripada BN dan PN tidak ada peluang kerana saya tidak mengenali mereka dan saya rasa pengundi lain dari Subang juga menganggap sedemikian,” katanya yang berusia 22 tahun.

Dia menegaskan bahawa pengundi lebih cenderung untuk mengundi seseorang yang mereka selesa dan boleh dipercayai.

“Selain itu, beliau baru-baru ini mengisytiharkan hartanya sekali gus menjadikan seorang wakil rakyat yang jujur. Saya percaya pengundi Subang akan menghormatinya,” katanya.

Seorang lagi pengundi yang enggan dikenali, berkata pengundi Subang berpendidikan dan tahu “hakikatnya” bahawa Wong adalah calon terbaik.

“Saya yakin beliau akan menang. Beliau telah membuktikan dirinya di Parlimen dan mewakili pakatan yang mahukan perubahan, sesuatu yang diingini ramai pengundi,” kata pesara berusia 50 tahun itu.

Tinjauan di Facebook Wong juga mendapati penyokong begitu menghargai khidmatnya sejak empat tahun lalu.

Sementara itu, penjual pisang goreng, Mohamad Zulkifli mengakui dia tidak begitu tertarik dengan Wong atau mana-mana calon lain.

Katanya, dia bosan dengan politik secara keseluruhan.

“Saya tidak pernah melihat beliau turun padang, yang saya nampak hanyalah bendera dan sepanduk. Saya tidak tahu, mungkin kali ini saya akan cuba mengundi PN,” kata peniaga berusia 38 tahun itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.