
“Suasana di sini suram. Seolah-olah semangat itu pudar dalam kalangan jentera Barisan Nasional (BN) kerana Noh Omar tidak bertanding,” katanya kepada FMT.
Azhar, 60 berkata, tidak banyak sepanduk dan bendera gabungan itu di kawasan yang dianggap antara benteng terakhir BN di Selangor.
Pada pilihan raya umum (PRU) 2018, BN hanya memenangi dua daripada 22 kerusi Parlimen di Selangor, iaitu Sabak Bernam dan Tanjong Karang. Bagaimanapun, Fasiah Fakeh yang memenangi kerusi Sabak Bernam atas tiket BN, kemudiannya keluar Umno dan menyertai Bersatu.
Noh yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang dan pengerusi BN Selangor digugurkan dalam senarai calon PRU15.
Azhar tidak gembira dengan keputusan BN menggugurkan Noh yang menyandang kerusi itu selama enam penggal, sehinggakan beliau memutuskan untuk memboikot PRU15.
“Saya tidak kisah sekiranya BN kalah kali ini. Saya tidak gembira dengan keputusan (Pengerusi BN) Ahmad Zahid Hamidi menggugurkan Noh.
“Noh bekerja keras membina semula Umno Selangor selepas pandemik dan prestasinya sebagai menteri juga cemerlang, tetapi kamu (Zahid) tiba-tiba gugurkannya,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Umi Nadzrah Abd Latif, 33, juga meramalkan BN akan kalah berdasarkan sentimen semasa di lapangan.
“Noh bekerja keras dan selalu melawat penduduk di sini, jadi saya terkejut beliau digugurkan.
“Penggantinya, Habibah Yusof terkenal dalam kalangan Wanita Umno, tetapi kurang dikenali di luar parti dan ini berita buruk,” katanya sambil menambah Habibah berdepan kesukaran memenangi kerusi itu.
Habibah yang juga ketua Wanita Umno Bahagian Tanjong Karang berdepan saingan lima penjuru daripada calon Muda yang mewakili Pakatan Harapan, Siti Rahayu Baharin, Azlan Sani Zawawi (Pejuang), Dr Zulkafperi Hanapi (Perikatan Nasional) dan calon bebas, Rosni Mastol.
Bagaimanapun, tidak semua penduduk Tanjong Karang sedih Noh digugurkan. Anis Matori, 54, berkata, lebih baik memberi peluang kepada calon baharu.
“Mana tahu, beliau (Habibah) boleh lakukan lebih baik. Kita semua tahu Noh banyak menyumbang kepada Tanjong Karang, tetapi pada masa sama, sebagai pengerusi BN negeri, beliau gagal merampas Selangor daripada PH.”
Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Daniel, 59, berpendapat Habibah harus diberi peluang untuk membuktikan dirinya, walaupun berdepan tugas sukar memenangi kerusi itu.
“Pertama, ia adalah saingan lima penjuru. Selain itu, Umno di sini kini berpecah kepada beberapa pihak selepas Noh digugurkan,” katanya.