Rina pindah Sepang bukti gagal di Titiwangsa, kata calon PH

Rina pindah Sepang bukti gagal di Titiwangsa, kata calon PH

Aiman Athirah Sabu juga berkata DAP sering dijadikan 'kambing hitam', namun mendakwa gabungan lain cemburu dengan PH memandangkan parti itu lebih baik berbanding MCA dan Gerakan.

Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Sepang, Aiman Athirah Sabu, menolak naratif dirinya calon luar di kawasan itu sambil menyifatkan serangan seperti itu sudah ketinggalan zaman. (Gambar Facebook)
SEPANG:
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Sepang, Aiman Athirah Sabu, membidas lawannya dari Perikatan Nasional (PN), Rina Harun, yang memilih bertanding di Selangor, berbanding mempertahankan kerusi Titiwangsa, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, tindakan Rina membuktikannya gagal berkhidmat kepada rakyat di Titiwangsa.

“Tindakan berpindah kerusi menunjukkan kegagalannya sebagai Ahli Parlimen Titiwangsa selepas PRU14. Beliau tidak mampu bertahan di sana,” katanya kepada FMT.

Pada PRU14, Rina yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, menang di Parlimen Titiwangsa dengan majoriti 4,139 undi, menentang calon Barisan Nasional (BN), Johari Abdul Ghani.

Beliau yang juga ketua Wanita Bersatu itu pernah berkhidmat sebagai menteri pembangunan luar bandar ketika kerajaan PH memerintah.

Dalam pada itu, Aiman berkata, beliau sedar tuduhan parti lawan bahawa Amanah dikawal DAP yang dianggap sebagai “kempen kecam”.

“DAP dijadikan ‘kambing hitam’ untuk menakutkan orang Melayu. Hakikatnya, menteri DAP menunjukkan prestasi baik ketika pentadbiran PH.

“Mudahnya, BN ada MCA, PN ada Gerakan dan PH ada DAP. Namun, DAP mempunyai lebih kualiti berbanding MCA dan Gerakan, justeru menimbulkan kecemburuan pihak lawan kepada kami,” katanya.

Beliau menggesa pengundi menolak sentimen kaum dan politik fitnah hanya kerana mahu mendapat kelebihan, sambil menyatakan pengundi sepatutnya memilih gabungan fokus mengenai tawaran kepada mereka.

Aiman juga menolak naratif beliau tidak sepatutnya dipilih kerana berstatus calon luar di Sepang dan menyatakan serangan seumpama itu sudah ketinggalan zaman.

“Walaupun saya dilahir di Sabah, saya sudah menetap di Selangor sudah lebih 20 tahun. Saya fikir pihak lawan patut berhenti mengeksploitasi naratif ‘calon luar’,” katanya sambil menambah apa yang penting beliau mahu berkhidmat tanpa pilih kasih di Sepang.

Aiman akan mempertahankan kerusi itu bagi PH selepas kawasan itu dimenangi Hanipa Maidin dengan majoriti 18,705 undi, menentang calon Umno, Marsum Paing dan calon PAS, Sabirin Marsono, pada PRU14.

Beliau berdepan pertembungan lapan penjuru, termasuk Rina, Anuar Basiran dari Barisan Nasional, Che Asmah Ibrahim (Pejuang), Daud Leong Abdullah (Parti Utama Rakyat), R Nageswaran (Parti Rakyat Malaysia) dan dua calon bebas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.