
Calon GPS bagi Petra Jaya, Fadillah Yusof, berkata bukan sahaja berlaku ketidakstabilan, malah kemelut politik negara juga bertambah buruk jika benar jajaran itu sedang dirancang.
“Pertama sekali dalam BN itu sendiri, ada yang menyokong dan ada yang tidak menyokong kerjasama BN dan PH,” katanya menurut Astro Awani.
Fadillah berkata demikan sebagai mengulas dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad bahawa BN akan bergabung dengan PH selepas PRU15.
Pada masa sama, Presiden PAS Abdul Hadi pernah menyuarakan bahawa strategi itu bertujuan memudahkan proses penggabungan antara BN dan PH untuk membentuk kerajaan persekutuan.
Hadi juga membangkitkan objektif akhir kerjasama itu adalah “menyelamatkan” pemimpin BN yang menghadapi pendakwaan di mahkamah.
Dalam pada itu, Fadillah yang juga ketua whip GPS menyeru pengundi memilih GPS demi kestabilan dan keutamaan Sarawak ketika ini ialah menentukan dasar di peringkat Persekutuan iaitu mewujudkan kerajaan stabil.
“Jika BN dan PH bergabung, itu hak mereka. Keutamaan Sarawak sekarang ialah menentukan dasar di peringkat persekutuan iaitu mewujudkan kerajaan stabil. GPS sahaja, jangan fikir yang lain. GPS yang akan dapat menstabilkan politik negara ketika ini,” katanya.
Isu dakwaan kerjasama BN dan PH itu kemudiannya dinafikan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, malah Pengerusi PH PKR Anwar Ibrahim menyifatkan dakwaan kerjasama antara dua seteru politik itu adalah fitnah.
Sebelum ini, Zahid dilapor menepis dakwaan kononnya pemimpin parti itu mahu mengecilkan kemenangan BN untuk memberikan kemenangan kepada PH.
Sebaliknya, beliau yang juga presiden Umno itu berkata, semua parti mahukan kemenangan besar termasuk parti yang baharu bertanding.