Pendidikan, tangani isu rumah, misi cikgu Imran di Parit Buntar

Pendidikan, tangani isu rumah, misi cikgu Imran di Parit Buntar

Calon BN bagi Parit Buntar itu berpandangan kemasukan pusat pendidikan tinggi akan merancakkan ekonomi setempat, selain mahu menyediakan tapak bagi pembinaan lebih banyak kediaman.

Cikgu Imran yang juga calon Barisan Nasional (BN) di Parit Buntar bersama pengundi dalam kempennya merampas semula kawasan Parlimen itu dari Pakatan Harapan (PH). (Gambar Facebook)
PARIT BUNTAR:
Cikgu Imran atau Imran Yusof, namanya mungkin tidak segah seperti lawan utamanya, Mujahid Yusof Rawa, namun calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Parit Buntar itu mempunyai aspirasi besar membawa perubahan kepada anak tempatan melalui pendidikan, selain menangani isu perumahan.

Dari dunia pendidik kepada dunia khidmat, cikgu Sejarah berusia 47 tahun ini melihat masih banyak perkara asas perlu diberi perhatian buat penduduk Parit Buntar, yang majoritinya terdiri golongan nelayan dan petani.

Katanya, Parit Buntar amat bertuah kerana terletak di sempadan antara tiga negeri – Pulau Pinang, Kedah dan Perak. Bagaimanapun, kawasan ini tiada pusat pengajian tinggi untuk menjana ekonomi setempat.

“Jadi, tanggungjawab saya adalah membawa masuk pusat pendidikan tinggi kerana dengan itu, penduduk akan bertambah, perumahan akan naik dan ekonomi penjaja kecil di sini juga akan berkembang,” katanya kepada FMT.

“Saya bertekad untuk menjaga pendidikan anak bangsa semua kaum, saya percaya dengan pendidikan itulah dapat mengubah sebuah keluarga, dapat mengubah masyarakat, dapat mengubah sebuah bangsa.”

Selain pendidikan, beliau juga agak kecewa dengan kadar pemilikan rumah dalam kalangan generasi kedua dan ketiga keluarga B40 di Parlimen itu memandangkan masih ramai lagi tidak mampu memiliki rumah selepas berkahwin dan terpaksa menumpang di rumah orang tua.

“Ini kisah benar di mana ada murid saya satu rumah duduk sampai 14 orang… kenapa duduk ramai-ramai? Sebab yang dah kahwin duduk rumah ibu bapa kerana tiada rumah, sebab tak mampu nak beli.

“Kita lihat banyak tanah di Parit Buntar ini boleh dibangunkan untuk bina rumah murah, jadi saya akan bertanggungjawab perkara ini agar keluarga muda di Parit Buntar ini mampu memiliki rumah sendiri,” katanya.

“Kalau mereka nak bina rumah sendiri pun tak mengapa, kita akan sediakan tapak.”

Selain dua tawaran itu, cikgu Imran bertekad untuk menyediakan peluang pekerjaan berkepakaran tinggi kepada anak tempatan, menerusi sektor pertanian moden dan pelancongan.

“Kita mahu bina kemahiran anak muda di Parit Buntar supaya mereka dapat mencipta peluang pekerjaan kepada anak muda lain kerana ramai anak muda kita berulang alik ke Pulau Pinang setiap hari untuk bekerja,” katanya.

Dengan pengalaman lebih 22 tahun mengajar di Sekolah Kebangsaan Methodist Parit Buntar dan Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Bukit Gantang, cikgu Imran berkata, “manifesto” dihidangkan kepada pengundi tidak mustahil direalisasikan.

Katanya, beliau tidak akan menggunakan pendekatan menyerang parti lawan, sebaliknya membina kekuatan sendiri dengan tawaran pembangunan yang lebih segar, dibantu jentera parti yang bersedia menawan semula Parlimen itu selepas jatuh ke tangan pembangkang, sejak 2008.

Cikgu Imran akan berdepan pertembungan empat penjuru. Beliau akan menentang bekas Ahli Parlimen tiga penggal dari Pakatan Harapan (PH), Mujahid, Misbahul Munir Masduki (PN) dan Rohijas Md Sharif (Pejuang).

Pada PRU14, Mujahid menang dengan 16,753 undi selepas memperoleh majoriti 3,098 undi. Parlimen Parit Buntar mempunyai 68,502 pengundi berdaftar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.