LRT Laluan Kelana Jaya buka sepenuhnya esok

LRT Laluan Kelana Jaya buka sepenuhnya esok

Semua 16 stesen di sepanjang laluan itu akan dibuka semula 6 pagi esok.

PETALING JAYA:
LRT Laluan Kelana Jaya akan dibuka semula sepenuhnya esok, susulan gangguan yang membawa kepada penutupan 16 stesennya Rabu lalu.

Prasarana Malaysia Berhad berkata, 16 stesen antara Kelana Jaya dan KLCC akan dibuka semula mulai 6 pagi esok.

Katanya, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah telah mengesahkan kestabilan sistem kawalan tren automatik (ATC) dan mengisytiharkan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya selamat untuk beroperasi sepenuhnya.

Ia berdasarkan analisa ke atas ujian meluas yang dijalankan pakar teknikal Rapid Rail dan pihak OEM Thales Group.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Kumpulan Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah berkata pemantauan sistem akan diteruskan bagi memastikan ia kekal stabil agar perkhidmatan dapat dijalankan dengan selamat.”

“Kami sekali lagi menekankan bahawa keputusan yang diambil adalah demi keselamatan pengguna.

“Pembukaan penuh perkhidmatan lebih awal daripada jadual ini diharap dapat mengurangkan kesulitan yang telah dilalui oleh pengguna pengangkutan awam, khususnya mereka yang menggunakan LRT Laluan Kelana Jaya,” katanya.
Sementara itu, Prasarana berkata ia akan memberi pampasan kepada penumpang dengan menawarkan perjalanan percuma selama seminggu, mulai esok hingga 20 Nov.

Katanya, pemegang pas My50 akan diberi tambahan tujuh hari perjalanan apabila mereka memperbaharui pas mereka.

Pengguna Touch ‘n Go boleh menggunakan kad mereka tanpa dikenakan bayaran, manakala mereka yang menggunakan token boleh mendapatkannya daripada kaunter perkhidmatan pelanggan di mana-mana stesen LRT, MRT, Monorel atau BRT.

Untuk maklumat lanjut, penumpang boleh berhubung melalui emel di [email protected] atau menghubungi 03-7885 2585, antara 7 pagi dan 8.30 malam (Isnin-Jumaat) dan 7 pagi dan 5.30 petang (Sabtu-Ahad).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.