
Lee yang dipilih menjadi Ahli Parlimen Kampar, pada 2008, berharap dapat memenangi semula kerusi lamanya itu selepas tumps kepada wakil DAP, Ko Chung Sen, pada pilihan raya umum 2013, kemudian tewas sekali lagi kepada Thomas Su, pada 2018.
Dalam saingan kali keempat bagi kerusi berkenaan, beliau mengharapkan dapat berkhidmat sebagai wakil rakyat di Parlimen itu bagi penggal kedua.
“Dalam penggal saya dipilih, saya berjaya membawa tiga agensi kerajaan ke Kampar. Jabatan Imigresen, Angkatan Pertahanan Awam dan Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK).
“Saya (juga) berjaya mendapatkan peruntukan RM25 juta bagi pembinaan jalan baharu menghubungkan Pantai Baru Kampar ke Tanjung Tualang Malim Nawar. Ia sekali gus memendekkan jarak antara dua kawasan itu membawa kepada perkembangan ekonomi,” katanya dalam wawancara bersama FMT.
Beliau berkata, dalam penggalnya, beliau mendakwa berjaya mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan bagi pembinaan hospital baharu termasuk sudah menyediakan tanah seluas 90 ekar bagi tujuan itu.
“Namun, selepas projek itu diluluskan dan tanah berkenaan diambil alih Kementerian Kesihatan, pilihan raya dipanggil dan saya tumpas.
“Inilah matlamat saya bahawa satu hari nanti sebuah hospital baharu yang menempatkan 100 katil untuk khidmat kesihatan kepada rakyat Kampar,” katanya.
Lee merayu pengundi Kampar melihat rekod kerjanya membangunkan kawasan terbabit dan membandingkan dengan penggantinya, sebelum mengundi pada 19 Nov.
“Rekod saya walaupun hanya sepenggal, saya berjaya membawa agensi kerajaan untuk perkhidmatan rakyat Kampar, selain saya berjaya meningkatkan infrastruktur,” katanya sambil menyatakan beliau juga ada membangunkan kemudahan seperti gelanggang futsal bagi kegunaan belia tempatan.
Lee berdepan saingan calon Perikatan Nasional (PN), Wong Oi Foon, calon Pakatan Harapan, Chong Zhemin dari DAP dan calon Warisan, Leong Cheok Lung.