Bayi maut dihempap pokok ru ketika berkelah

Bayi maut dihempap pokok ru ketika berkelah

Semalam, mangsa cedera susulan dihempap pokok ru, namun disahkan meninggal dunia pagi tadi selepas perkara itu disahkan ADUN Pantai Kundor Tuminah Kadi.

Bayi berusia setahun lima bulan meninggal dunia susulan dihempap pokok ru tumbang, dalam kejadian di Pantai Puteri, Melaka. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bayi lelaki berusia setahun lima bulan yang dihempap pokok ru, semalam, meninggal dunia selepas lebih enam jam bertarung nyawa, di Hospital Melaka, hari ini.

Perkara itu dikongsikan ADUN Pantai Kundor Tuminah Kadi.

Katanya, beliau dihubungi pihak hospital pada 1.30 pagi tadi yang memaklumkan pemergian bayi itu dan berharap ibu bapa serta keluarga mangsa tabah dengan dugaan itu.

“Adik Muhammad Zafran Ilman Mohd Syazwan, mangsa dihempap pokok telah kembali kepada sang pencipta-Nya sebentar tadi.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan diharapkan ibu dan ayah serta keluarga tabah dengan dugaan ini,” katanya menurut Sinar Harian.

Semalam, memetik laporan Berita Harian, ibu dan bayi yang berkelah di Pantai Puteri dihempap pokok ru.

Kejadian berlaku kira-kira 6.30 petang, ketika wanita terbabit sedang mendukung bayinya sambil melihat suami dan anaknya mandi.

Pokok ru itu secara tiba-tiba tumbang dengan dahan bahagian tengah pokok menghempap belakang wanita itu, sehingga mengakibatkan kedua-dua mereka tersembam ke pasir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.