
Dalam kemalangan pada 7.45 pagi itu, Ibrahim Daud, 71, bersama isterinya, Latipah Dorahim, 66, dan menantu, Syazana Tharin, 30, serta cucu lelaki, Yusuff Daniel Muhammad Izwan, 5, maut akibat cedera parah di bahagian kepala.
Seorang lagi kanak-kanak lelaki yang juga anak Syazana berusia kira-kira dua tahun parah dan kini sedang dirawat di zon merah Hospital Melaka. Pemandu MPV yang juga anak lelaki Ibrahim, Muhammad Izwan, 30, tidak cedera dan pemandu pacuan empat roda, Koh Eng Koon, 59, mengalami cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Arshad Abu berkata siasatan awal mendapati enam beranak tersebut dalam perjalanan dari arah Selandar menghala ke Alor Gajah, manakala kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser itu pula dalam perjalanan dari arah Durian Tunggal menghala ke Selandar.
Katanya ketika kejadian, kenderaan pacuan empat roda dipandu keluar dari simpang dan membelok ke kanan sebelum MPV tersebut cuba mengelak daripada merempuh kenderaan itu.
“MPV tersebut cuba mengelak ke arah kanan dan membrek sejauh lima meter namun merempuh juga kenderaan terbabit.
“Akibat kemalangan itu, Ibrahim maut di lokasi kejadian manakala tiga lagi iaitu Latipah, Syazana dan seorang anaknya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Alor Gajah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya jenazah empat beranak itu dihantar ke Unit Forensik hospital berkenaan untuk bedah siasat.
“Maklumat awal mangsa menyatakan mereka dalam perjalanan ke Langkawi untuk menyambut hari jadi Ibrahim,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pemandu kenderaan pacuan empat roda itu ditahan pada 11 pagi di Balai Polis Trafik Alor Gajah selepas menerima rawatan pesakit luar di hospital sama, untuk keterangan lanjut.
Katanya ujian saringan air kencing mendapati pemandu tersebut negatif dadah, manakala kedua-dua kenderaan terlibat ditahan untuk pemeriksaan Pusat Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.