Undi bukan Melayu penentu di Tambun, kata calon BN

Undi bukan Melayu penentu di Tambun, kata calon BN

Ahmad Faizal Azumu sebelum ini mendakwa pengundi India adalah 'kingmaker' kerana 11% pemilih berdaftar di Tambun adalah komuniti itu.

Aminuddin Hanafiah berkata pengundi bukan Melayu boleh menilai gabungan mana yang berkhidmat lebih baik selepas beberapa kali kerajaan bertukar sejak empat tahun lalu.
TAMBUN:
Pemenang kerusi Parlimen Tambun akan ditentukan oleh semua pengundi bukan Melayu dan bukan terletak di tangan komuniti India sahaja, kata calon Barisan Nasional (BN), Aminuddin Hanafiah.

Aminuddin mengulas kenyataan bekas penyandang kerusi Tambun, Ahmad Faizal Azumu yang dilaporkan berkata, pengundi India adalah “kingmaker” kerana 11% pemilih berdaftar di Tambun adalah komuniti itu.

Faizal yang mewakili Perikatan Nasional (PN) akan mempertahankan kerusi itu yang dimenanginya pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Pada saya ia bukan hanya ditentukan pengundi India sahaja. Semua pengundi bukan Melayu, Cina dan India akan menjadi penentu. Ia bergantung pihak mana yang disokong mereka.

“Kebiasaannya (sebelum PRU14) kita boleh dapat kira-kira 75% undi India dan 40% undi Cina. Tetapi pada PRU14, kita hanya mampu dapat 35% undi India dan 15% undi Cina,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, selepas melalui pentadbiran bawah Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional, Aminuddin percaya pengundi bukan Melayu boleh menilai gabungan mana yang berkhidmat lebih baik.

“Latar belakang kita adalah pemimpin yang berkhidmat kepada komuniti. Ketika berkuasa, kita lakukan banyak perkara untuk rakyat.

“Walaupun BN tidak lagi berada dalam kerajaan, rakyat masih mencari kami untuk mendapatkan bantuan yang mereka perlukan,” katanya.

Tambahnya, rakyat juga boleh lihat bahawa pemimpin BN “sentiasa ada untuk mereka”.

“Kali ini, rakyat mempunyai pilihan. Mereka boleh kembali kepada BN dengan semua kejayaan dalam tempoh 60 tahun atau mereka boleh nilai apa PH lakukan ketika berkuasa.

“Di sebalik semua janji yang PH buat, apabila berkuasa, secara jujur mereka tidak menunaikannya,” kata setiausaha Umno Perak itu.

Aminuddin menghadapi saingan empat penjuru di Tambun. Beliau berdepan Faizal, Anwar Ibrahim daripada PH dan Abdul Rahim Tahir (Pejuang).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.