
Rabu lalu, Prasarana mengumumkan, perkhidmatan antara 16 stesen di laluan itu ditutup selama seminggu bagi mencari punca kegagalan sistem ATC yang menjadi punca gangguan.
Dalam satu kenyataan hari ini Wee berkata, Rapid Rail menggerakkan 24 set tren di sepanjang laluan Kelana Jaya selama enam jam untuk memastikan kestabilan dan keselamatan sistem sebelum meneruskan pengoperasian penuh.
“Pagi ini saya diberi taklimat tentang pengujian sistem ATC oleh pihak Rapid Rail yang bermula pada jam 11 malam (11 Nov) hingga jam 5 pagi tadi, sambil dipantau oleh Bahagian Perancangan dan Penguatkuasaan Rel Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Saya boleh melaporkan bahawa sistem isyarat dan komunikasi dalam keadaan baik dan berkemungkinan besar kita dapat kembali kepada pengoperasian normal kesemua 38-40 tren di sepanjang laluan Kelana Jaya tidak lama lagi,” katanya.
Tambahnya, semua 38 set tren di sepanjang laluan juga diuji dengan jarak 5 minit antara setiap set tren, jadual yang sama di laluan itu ketika waktu puncak.
“Mudah-mudahan saya dapat membawa berita baik esok,” tambahnya.
Wee yang bertanding di Parlimen Ayer Hitam untuk Barisan Nasional berkata, dia akan membahagikan masa antara kempen di Ayer Hitam dan memantau perkembangan LRT itu di Kuala Lumpur.