Perkhidmatan LRT dijangka beroperasi semula lebih awal

Perkhidmatan LRT dijangka beroperasi semula lebih awal

Menteri pengangkutan berkata masalah yang dialami telah dibetulkan namun perkhidmatan perlu diuji esok.

Perkhidmatan LRT antara stesen Kelana Jaya dan Ampang Park digantung operasi sejak Rabu dan ia dijangka kembali beroperasi pada 15 Nov.
PETALING JAYA:
Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata perkhidmatan LRT bagi laluan Kelana Jaya boleh beroperasi semula lebih awal daripada jangkaan, tertakluk kepada ujian yang dijalankan selama sehari, selepas modem dan bekalan kuasa untuk trek digantikan.

Wee berkata masalah itu telah dibetulkan tetapi perkhidmatan laluan itu perlu diuji esok.

“Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga perlu memperakui pengesahan pakar Thales Group bahawa landasan rel itu selamat dan stabil untuk digunakan sebelum kami boleh membukanya semula,” katanya pada sidang media di depoh Rel Rapid Lembah Subang.

“Jika tiada lagi masalah, kami akan menyambung semula perkhidmatan di mana Prasarana akan mengumumkan pada 6 petang sehari sebelumnya.”

Pada Rabu, Prasarana memaklumkan perkhidmatan LRT antara stesen Kelana Jaya dan Ampang Park digantung operasi selama seminggu. Ia membabitkan sebanyak 16 stesen.

Ia tidak dapat menentukan punca kerosakan sistem kawalan tren automatik (ATC) yang membawa kepada gangguan perkhidmatan.

Syarikat itu berkata ia mendapatkan bantuan daripada Thales Group, pengeluar peralatan asal, untuk menghantar pakarnya bagi meneliti masalah itu

Wee berkata ujian yang dilakukan esok akan melihat perjalanan tren itu di sepanjang laluan LRT Kelana Jaya selama sehari.

“Kita mahu memastikan tren ini boleh beroperasi sepanjang hari dan pakar dari Thales Group kemudiannya mesti membuat penilaian berdasarkan perkara ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.