Hormat pada ‘Tok Guru’ nilai tambah rampas Pasir Salak, kata Nik Omar

Hormat pada ‘Tok Guru’ nilai tambah rampas Pasir Salak, kata Nik Omar

Calon Pakatan Harapan (PH) itu berkata pengundi Pasir Salak menterjemahkan rasa hormat dan sayang kepada arwah bapa, Nik Abdul Aziz Nik Mat, kepadanya.

Calon PH bagi Parlimen Pasir Salak, Nik Omar Nik Abdul Aziz, berkata ketiadaan bekas penyandang, Tajuddin Abdul Rahman, bersaing mempertahankan kawasan itu menjadikan peluang semua calon bertanding terbuka. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jasa dan penghormatan kepada arwah bapanya, Nik Abdul Aziz Nik Mat, dalam kalangan pengundi di Parlimen Pasir Salak, menjadi nilai tambah kepada Nik Omar, dalam usaha merampas kerusi itu dari penguasaan Umno.

Nik Omar berkata, selain penerimaan baik pengundi di kerusi itu, rakyat Pasir Salak menterjemahkan rasa hormat dan sayang pada ‘Tok Guru’ kepadanya.

“Alhamdulillah, saya diterima baik di sini. Mungkin juga ada unsur pengundi mengingati jasa allahyarham Tok Guru (Nik Abdul Aziz) yang masih ramai, yang masih mengenali dan sempat bersama beliau. Mereka mengenali dan menghormati sosok Tok Guru. Jadi, dia terjemahkan rasa hormat dan sayang pada Tok Guru kepada anak dia, itu nilai tambah untuk saya,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Katanya, peluang semua calon bertanding di kerusi itu terbuka selepas bekas penyandangnya dari Barisan Nasional (BN), Tajuddin Abdul Rahman, tidak bersaing mempertahankan kawasan berkenaan.

“Kita tahu dan kita hormat ini kubu Umno tapi demokrasi memberi kita peluang untuk mengemukakan tawaran dan saya nampak ini merupakan strategi PH untuk tambah bilangan kerusi bagi memungkinkan Anwar Ibrahim diangkat sebagai perdana menteri. Kita berusaha jadikan Pasir Salak salah satu kerusi yang boleh menang walaupun berdepan cabaran yang besar dan berat tapi kita usaha,” katanya.

Nik Omar ketika mengulas status dirinya sebagai calon luar, beliau berkata, isu calon luar mungkin sesuai untuk pilihan raya pada tahun 70-an dan 80-an.

Katanya, malah parti lain pun meletakkan calon luar seperti Parlimen Sungai Buloh dan Parlimen Kota Bharu.

“Sepanjang saya berkempen di Pasir Salak, penerimaannya amat baik, saya hormat calon tempatan tapi untuk zaman sekarang ini tak relevan,” katanya.

Parlimen Pasir Salak menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara Nik Omar, Khairul Azwan Harun (BN), Jamaluddin Yahya (PN) dan Zairol Hizam Zakaria (Pejuang).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.