Tambah penerbangan malam untuk murahkan tambang ke Malaysia Timur, kata Loke

Tambah penerbangan malam untuk murahkan tambang ke Malaysia Timur, kata Loke

Bekas menteri pengangkutan itu berkata ia hanya boleh dilakukan sekiranya pengendali lapangan penerbangan, syarikat penerbangan dan kerajaan bekerjasama.

Bekas menteri pengangkutan Loke Siew Fook berkata, lapangan terbang juga perlu beroperasi sehingga lewat malam.
PETALING JAYA:
Bekas menteri pengangkutan Loke Siew Fook berkata, cara terbaik untuk menurunkan harga tambang penerbangan ke Sabah dan Sarawak adalah dengan menambah penerbangan lewat malam beberapa hari sebelum pilihan raya umum (PRU).

Menurutnya, ini hanya boleh dilakukan sekiranya pengendali lapangan terbang, syarikat penerbangan dan kerajaan bekerjasama.

“Jika kita ingin menambah penerbangan pada waktu malam ke Sabah dan Sarawak, lapangan terbang perlu beroperasi sehingga lewat malam juga.

“Ini memerlukan pendekatan yang menyeluruh, yang melibatkan syarikat penerbangan dan kerajaan untuk bekerjasama bagi menghasilkan dasar sedemikian,” katanya dalam temubual dengan Astro Awani.

Tambahnya, syarikat penerbangan mempunyai kapasiti terhad dan menetapkan jadual penerbangan, menjadikannya sukar untuk menambah penerbangan.

“Pada pandangan saya, cara terbaik untuk menurunkan harga (tambang) penerbangan adalah dengan menambah penerbangan lewat malam beberapa hari sebelum hari pilihan raya bagi memenuhi permintaan,” katanya.

Loke, yang juga setiausaha agung DAP, berkata syarikat penerbangan boleh digalakkan untuk melakukan lebih banyak penerbangan lewat malam bagi membantu mengurangkan kos.

Pada Oktober, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) berkata, tambang penerbangan untuk penerbangan domestik dalam tempoh PRU15 akan menjadi lebih rendah berbanding tambang yang direkodkan selepas hari pengundian diumumkan.

Sebelum ini, pengguna mengadu di media sosial bahawa harga tiket penerbangan terlalu mahal untuk mereka pulang mengundi di kampung.

Segelintir berkata, harga tiket penerbangan melambung berikutan pengumuman tarikh pengundian pada 19 Nov.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.