Syed Saddiq isytihar aset RM1.9 juta

Syed Saddiq isytihar aset RM1.9 juta

Presiden Muda itu berkata, kebanyakan aset itu diperoleh sebelum dan selepas menyertai politik serta sepanjang menjadi menteri belia dan sukan.

MUAR:
Calon Muda di Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengisytiharkan aset bersihnya berjumlah RM1.9 juta.

Presiden Muda itu berkata, pengisytiharan harta setakat 30 Sept lalu itu dibuat mengikut Akta Akuan Berkanun 1960.

Katanya, kebanyakan aset itu diperoleh sebelum dan selepas menyertai politik serta sepanjang menjadi menteri belia dan sukan.

Syed Saddiq berkata, jumlah itu termasuk wang tunai dimilikinya berjumlah lebih RM45,000 serta pelaburan lain bernilai RM1.2 juta.

Selain itu beliau turut memiliki sebuah motosikal jenis Yamaha NVX bernilai RM8,500 selain membiayai kenderaan milik abangnya jenis Honda City sebanyak RM757 sebulan serta sebuah basikal terpakai jenis Pinarello berharga RM8,000.

Selain itu, aset lain diisytiharkan termasuk sebuah unit kondominium di Kuala Lumpur bernilai RM880,000 dan masih dalam pembinaan serta memiliki pegangan 50% rumah keluarga di Elmina, Shah Alam, Selangor.

Beliau turut memiliki dua ekor kucing yang tidak ternilai bernama ‘Toby dan Meow Meow’ selain memaklumkan dirinya tidak memiliki aset, akaun bank di luar negara, tiada sebarang tanah serta baju dan jam mahal.

“Di sini saya nak terangkan juga ini (isytihar) sangat penting untuk ketelusan kena terangkan bagaimana aset itu terkumpul adakah ia sumber sah atau sumber haram.

“Saya juga berharap bahawa khususnya bekas-bekas menteri turut isytihar aset kerana ini penting kerana rakyat nak lihat jumlah gaji tertentu sebelum masuk politik, awal masuk politik dan selepas menjadi menteri lima tahun, 10 tahun sama ada tiba-tiba ada aset berjumlah RM50 juta, RM100 juta termasuk aset di luar negara,” katanya dalam sidang media di pejabat Muda Sungai Balang di sini.

Katanya, pengisytiharan harta itu penting supaya rakyat tahu dari mana dana diterima, adakah datang dari pemberian kontrak dari jawatan menteri atau daripada kerajaan.

Syed Saddiq berkata, susulan pengisytiharan itu akan ada pihak yang mengkritik dan dirinya sedia berdepan tindakan itu.

“Saya tahu selepas ini dan saya menerima kritikan dengan hati terbuka, cadangan dengan hati terbuka, cuma saya berharap kritikan dan cadangan ini disampaikan juga kepada sahabat politik lain untuk isytihar aset dan harta juga,” katanya sambil memaklumkan calon Muda lain akan turut isytihar harta dalam masa terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.