‘Shahidan pengkhianat, BN akan pastikan dia kalah di Arau’, kata Azlan

‘Shahidan pengkhianat, BN akan pastikan dia kalah di Arau’, kata Azlan

Pengerusi BN Perlis juga mempersoal sama ada Shahidan Kassim ikhlas bersama Umno sebelum ini atau demi kepentingan diri semata-mata.

Pengerusi BN Perlis Azlan Man menggelar Shahidan Kassim sebagai pengkhianat kerana sanggup bersama PN selepas digugur menjadi calon di Parlimen Arau.
PETALING JAYA:
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perlis Azlan Man menggelar Shahidan Kassim sebagai “pengkhianat” kerana sanggup bersama Perikatan Nasional (PN), selain bersikap hipokrit selepas tidak reda digugurkan sebagai calon.

Azlan berkata, pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Shahidan pernah meminta pemimpin BN yang tidak tersenarai sebagai calon untuk reda dengan keputusan parti, namun kini beliau dilihat bertindak sebaliknya dan cuba melawan kehendak takdir.

Pada masa sama, beliau mempersoal sama ada Shahidan ikhlas berjuang untuk parti dengan menggunakan wadah Umno dan BN selama ini atau hanya sekadar demi kepentingan diri semata-mata.

“Dia (Shahidan) sendiri lawan arus dengan kata-katanya sendiri dan saya lihat dia hanya pentingkan diri sendiri,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Kebelakangan ini, Shahidan secara lantang mengkritik kepemimpinan Azlan dan turut menyifatkan menteri besar itu mengamalkan sikap “warlord” untuk menjatuhkannya, selain mengganggu sistem politik di negeri ini.

Dalam pada itu, Azlan menafikan dakwaan Shahidan dan menegaskan beliau tidak pernah cuba mempengaruhi sesuatu keputusan khususnya yang ditetapkan kepimpinan parti.

“Kalau nak label saya ‘warlord’ tak tepat langsung kerana saya tak pernah dilihat sebagai seseorang yang cuba mempengaruhi sesuatu. Pengundi tahu siapa ‘warlord’ dan siapa Shahidan Kassim. Sekarang orang dah nampak siapa sebenarnya beliau,” katanya.

Tambah calon DUN Bintong itu, Shahidan menang selama lapan penggal berturut-turut dalam pilihan raya sebelum ini atas kekuatan BN dan Umno, namun beliau telah berpaling tadah hanya semata-mata disebabkan parti tidak memenuhi kehendak peribadinya.

“Kita juga akan pastikan dia kalah di Arau kerana dia kini adalah musuh BN,” katanya.

Pada PRU15, Shahidan bertanding atas tiket PN dalam pertembungan tiga penjuru menentang Rozabil Abd Rahman (BN) dan Fathin Amelina Fazlie (PH).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.