
GEORGE TOWN: Pulau Pinang mengisytiharkan 18 Nov, hari sebelum pengundian bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15), sebagai cuti umum bagi negeri itu.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, hari cuti itu akan memberikan “masa dan kemudahan” kepada rakyat menjelang hari mengundi.
Pulau Pinang menjadi negeri ketiga yang mengisytiharkan cuti umum pada hari tersebut, selepas Selangor dan Negeri Sembilan.
Semalam, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengisytiharkan 18 Nov sebagai cuti umum di seluruh negara bagi memudahkan rakyat mengundi pada hari berikutnya.
Pada Selasa, Ismail berkata, kerajaan akan mengkaji cadangan mengisytiharkan cuti umum khas pada 18 Nov.