
PETALING JAYA: Lima exco kerajaan Perak daripada Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tidak dijamin akan dilantik semula jika parti itu menerajui negeri.
Pengerusi BN Perak, Saarani Mohamad, berkata berdasarkan amalan, pelantikan exco dibincangkan dengan kepimpinan parti.
“Amalan selama ini pun memang parti yang akan buat keputusan,” katanya menurut Berita Harian.
Perak mempunyai 59 kerusi DUN pada PRU14 lalu BN menang di 27 kerusi yang semuanya menerusi calon daripada Umno.
Sebelum ini, media turut melaporkan, Ahmad Zahid Hamidi selaku pengerusi BN akan menamakan semula Saarani sebagai menteri besar jika BN memenangi Perak, tertakluk kepada perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.