
Bekas presidennya Liow Tiong Lai berkata, parti itu mempunyai tanggungjawab untuk memelihara pengalaman BN yang telah terbukti untuk manfaat generasi muda.
Liow, yang berhasrat untuk merampas semula kerusi Parlimen Bentong yang disandangnya secara berterusan selama hampir dua dekad antara 1999 dan 2018, berkata MCA adalah satu-satunya parti yang boleh menawarkan pengalaman unik ini kepada masyarakat Cina.
“Inilah sebabnya kami menggesa rakyat Cina Malaysia agar kembali kepada parti untuk memberikan MCA dan anda sendiri suara yang kuat di Parlimen, kerajaan dan dalam Jemaah Menteri,” kata Liow.
Dalam wawancara eksklusif bersama FMT, Liow, 61, berkata MCA ialah wadah terbaik untuk masyarakat Cina meluahkan pendapat mereka mengenai perkara-perkara berkaitan tadbir urus negara.
“Kami kenal Umno dan MIC dengan baik kerana telah bersama mereka selama beberapa dekad. Kami benar-benar faham antara satu sama lain.
“Itu menjadi kunci kejayaan Malaysia sejak 60 tahun lalu,” katanya.
PH tiada pengalaman dan identiti bersama
Liow, yang pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri belia dan sukan (2006-2008), menteri kesihatan (2008-2013) dan menteri pengangkutan (2014-2018) berkata, apabila dibandingkan dengan BN, Pakatan Harapan (PH) tiada pengalaman dan identiti bersama.
“PH tidak mempunyai pengalaman institusi yang mencukupi untuk mentadbir negara.
“Selain itu, parti-parti dalam PH didorong kepentingan diri semata-mata. Mereka bertelagah sesama sendiri bagai kucing dan anjing.
“Perkara itu yang menyebabkan kerajaan PH tumbang selepas hanya 22 bulan (memerintah),” katanya.
Perubahan hanya boleh datang dari dalam BN
Liow mengakui kelemahan telah terserlah dalam BN sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Kita perlukan perubahan, tetapi kita mesti berada dalam BN untuk mengubahnya. Kita tidak boleh buat apa-apa dari luar,” katanya.
“Hanya MCA yang kuat boleh memberi impak dalam BN dan dalam kerajaan. Itulah sebabnya saya menyeru ahli MCA, masyarakat Cina dan seluruh rakyat Malaysia untuk mengundi kami kali ini.”
Alternatif yang dikenali
Liow, yang tanpa diduga kehilangan kerusinya pada 2018 apabila Wong Tack menang tipis dengan 3.69% bahagian undi, yakin beliau dapat menebus kekalahannya, walaupun terlibat dalam pertembungan lima penjuru dengan Wong (bekas wakil rakyat DAP dan kini calon bebas), bekas ADUN Ketari Young Syefura Othman (DAP), Roslan Hassan (Perikatan Nasional) dan calon bebas, Achik Khalil.
Liow percaya konflik dalaman, yang menyaksikan Wong digantikan oleh Syefura sebagai calon DAP, mencerminkan perselisihan dalam parti itu.
“Jelas sekali bahawa konflik itu adalah kerana perkhidmatan mereka kepada penduduk Bentong tidak mencapai standard. Malah, banyak projek di Bentong dibatalkan.
“Saya di sini untuk menawarkan Bentong alternatif yang sangat mereka kenali,” katanya.
Liow menyatakan bahawa “setelah menjanjikan bulan dan bintang”, PH gagal menunaikannya sepanjang tempoh singkat mereka menjadi kerajaan.
“Rekod prestasi BN dan MCA selama bertahun-tahun jauh lebih bagus,” katanya.
Liow turut mempertikaikan dakwaan Syefura bahawa beliau tidak menunjukkan muka di kawasan itu sejak beberapa tahun lepas.
“Itu tidak benar. Saya sentiasa berhubung dengan penduduk Bentong. Saya berada di sini pada kemuncak wabak Covid-19, semasa banjir dan juga kebakaran di Karak,” katanya.
Bekas presiden MCA itu turut tidak menganggap hakikat bahawa beliau bukan lagi sebahagian daripada kepimpinan tertinggi parti itu sebagai sesuatu yang serius.
“Itu tidak pernah terlintas di fikiran saya. Keutamaan saya adalah untuk berkhidmat kepada penduduk Bentong dengan sebaik mungkin,” katanya.