Kami tak mahu berlaku lagi pelanggaran, kata CEO Prasarana

Kami tak mahu berlaku lagi pelanggaran, kata CEO Prasarana

Azharuddin Mat Sah berkata Prasarana akan memberikan tambang percuma kepada penumpang terjejas bagi setiap hari gangguan berlaku.

Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Azharuddin Mat Sah berkata syarikat itu tidak mahu insiden pelanggaran LRT pada 2021 yang mengakibatkan 213 penumpang cedera berulang. (Gambar Facebook Wee Ka Siong)
PETALING JAYA:
Bimbang tercetusnya pelanggaran antara tren menjadikan pengendali rel, Prasarana, tidak mempunyai banyak pilihan selain “membuat keputusan sukar” menutup operasi 16 stesen di sepanjang laluan LRT Kelana Jaya untuk seminggu, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Azharuddin Mat Sah.

Sambil menyatakan permohonan maaf sekali lagi atas kesulitan kesan gangguan itu, Azharuddin berjanji akan memberikan tambang percuma kepada penumpang bagi “setiap hari gangguan” kerana katanya ia merupakan “perkara tepat untuk dilakukan”.

Merujuk kepada jurutera Prasarana sedang melakukan kerja mengenal pasti gangguan di laluan LRT Kelana Jaya, sejak Sabtu lalu, beliau mendedahkan bahawa tren “tidak berkemampuan bergerak secara automatik”, semalam, dan Rapid KL juga tidak dapat “melihat tren di skrin mereka”.

“Dan itu adalah paling penting…Jadi, kami terpaksa membuat keputusan sukar untuk menggantung operasi,” kata Azharuddin dalam sidang media.

“Kami mengetahui ramai yang terjejas kesan daripada gangguan ini, namun keutamaan kami adalah keselamatan. Kami pastinya tidak mahu insiden buruk yang berlaku pada Mei 2021 terjadi lagi.

“Bila mana kami menjalankan operasi, kami perlu yakin ia adalah selamat. Jika kami gagal menepati piawaian tinggi ditetapkan, kami tidak akan menggerakkan tren dan akan memberi maklum balas kepada orang awam dengan sewajarnya.”

Pada 24 Mei 2021, seramai 213 penumpang cedera selepas dua tren LRT berlanggar di laluan bawah tanah antara stesen KLCC dan Kampung Baru, sekali gus menjadi insiden terburuk membabitkan laluan Kelana Jaya, sejak memulakan operasi sebagai Putra Line, pada 1996.

Daripada 213 penumpang yang cedera, 64 dimasukkan ke hospital – enam kritikal dan tiga lagi bergantung kepada ventilator. Nahas itu juga menyebabkan 15 mangsa dalam keadaan separuh kritikal.

Gangguan pada minggu ini di laluan LRT Kelana Jaya berpunca daripada sistem kawalan tren automatik (ATC) yang tidak berfungsi.

Pakar dari Thales Group, pengilang peralatan asal (OEM), tiba dari Kanada, hari ini, untuk meneliti isu berkenaan.

Azharuddin berkata, mereka akan bekerjasama dengan pasukan jurutera Rapid Rail untuk menganalisis janaan log hasil ujian pergerakan dan mengenal pasti komponen yang disyaki mencetuskan masalah kepada sistem ATC.

Mengulas berhubung tambang percuma kepada penumpang terjejas, Azharuddin berkata, perincian itu akan diumumkan selepas khidmat bersambung di 16 stesen dari Kelana Jaya ke Ampang Park.

“Kami menerima maklum balas daripada orang awam, termasuk di media sosial,” katanya. “Saya fikir ia (tambang percuma) adalah perkara tepat untuk dilakukan, dan kami akan mengumumkan perinciannya sejurus kami menyelesaikan masalah ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.