
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Lokman Jamaan berkata, hasil siasatan mendapati sindiket penipuan menawarkan lesen memandu kepada individu yang mahu mendapatkan lesen melalui jalan singkat tanpa perlu menjalani ujian memandu.
“Sindiket mengiklankan tawaran itu menggunakan akaun palsu di media sosial untuk masa singkat, iaitu antara dua ke tiga hari saja sebelum menutup akaun terbabit.
“Selepas itu, sindiket akan membuka akaun baharu dipercayai bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, JPJ sudah membuat laporan polis berhubung kegiatan sindiket itu untuk disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana memalsukan dokumen.