Inisiatif dan proaktif, persatuan puji penglibatan Nancy Shukri bantu industri pelancongan

Inisiatif dan proaktif, persatuan puji penglibatan Nancy Shukri bantu industri pelancongan

Persatuan hotel berharap inisiatif Nancy Shukri ketika menjadi menteri pelancongan, seni, dan budaya akan diteruskan.

Pemain industri perhotelan mengharapkan sokongan berterusan daripada kerajaan baharu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dua persatuan hotel memuji sikap proaktif Nancy Shukri dan penglibatannya sebagai menteri pelancongan, seni, dan budaya, dan berharap inisiatif beliau diteruskan kerajaan baharu.

Persatuan Hotel Malaysia berkata, Nancy secara berterusan berhubung dengan pemegang taruh untuk mendapatkan maklumat yang berguna.

“Beliau melibatkan sektor swasta dalam mesyuarat bersama bagi mencari jalan menambahbaik dan membetulkan semula pelancongan di Malaysia,” kata Presiden Christina Toh kepada FMT.

Tambahnya, Nancy dan pasukannya jauh lebih proaktif berbanding kementerian lain dalam usaha menambah baik industri perhotelan.

Beliau berkata, kementerian Nancy menganjurkan pesta-pesta kembara di pusat-pusat beli-belah yang membantu mewujudkan kesedaran tentang pelancongan dalam negara.

“Terdapat juga inisiatif e-baucar hotel sehingga RM100 yang sangat membantu kerana ia menggalakkan orang ramai melancong ke serata Malaysia,” katanya.

Nancy memperuntukkan RM1.4 juta untuk baucar penebusan bagi industri hotel antara Oktober dan Disember 2021.

Toh berkata, ramai orang menganggap industri pelancongan dan perhotelan pulih sepenuhnya, tetapi selepas dua setengah tahun, industri tersebut terjejas dari segi pendapatan, menyukarkannya untuk menanggung senggaraan kemudahan-kemudahan untuk pelancong.

Beliau berharap kementerian lain akan menyokong Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya meluaskan bantuan kepada industri perhotelan.

Sementara itu, Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia berkata, geran padanan RM30 juta untuk menaik taraf hotel bajet dan inap desa “sangat membantu”.

“Ia perlu diperkenalkan semula tahun depan kerana pengusaha hotel mungkin tidak dapat menggunakan ia sepenuhnya dalam tempoh yang begitu singkat,” kata Presiden Ganesh Michiel.

Geran itu diperkenalkan pada Jun dan akan berakhir pada Disember.

Beliau berharap kerajaan akan terus tumpu membantu sektor pelancongan dengan pakej rangsangan khusus.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.