
“Tidak kira sejauh mana saya menjawabnya, mereka akan tetap ‘mengalih palang gol’,” katanya kepada FMT selepas menghadiri ceramah di sini.
Yeo berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4) bahawa DAP mencalonkannya untuk kawasan di mana keluarga mentuanya mempunyai “kepentingan perniagaan yang luas”.
Katanya, beliau sudah berkahwin selama empat tahun bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOI Properties, Lee Yeow Seng, dan menegaskan beliau kekal profesional melaksanakan amanahnya sebagai wakil rakyat.
“Anda boleh lihat dalam hansard Parlimen, dan keputusan yang saya buat ketika menjadi menteri.
“Adakah saya pernah membuat sesuatu seperti dianggap secara mengejut oleh C4?”
Yeo berkata, pengundi pastinya mampu membezakan antara kawasan Parlimen dan nama lokasi itu.
Beliau percaya pengundi juga berkemampuan menilai prestasi rekod perkhidmatannya sebagai bekas menteri dan Ahli Parlimen.
“Saya serahkan kepada pengundi memutuskan dengan melihat rekod saya dan diri saya sebagai individu.”
Terdahulu, C4 mendakwa pencalonan Yeo bagi kerusi Puchong mempunyai konflik berkepentingan pada “tahap tertinggi” susulan beliau merupakan pasangan kepada ahli perniagaan terkemuka di negara ini.
Dalam kenyataannya, C4 berkata, Kumpulan IOI mempunyai kepentingan di “kawasan tanah besar” di seluruh kawasan Puchong, sambil menyatakan hartanah pelaburan termasuk IOI Mall Puchong, IOI Boulevard Puchong, Sheraton Puchong, Pusat Kewangan Korporat Puchong, Hotel Palm Garden Hotel, Kelab Golf Palm Garden dan IOI Palm Villa Golf and Country Resort.
Yeo berkata, kesemua kawasan yang disebut itu tidak berada dalam kawasan Parlimen Puchong dan menggesa C4 memeriksa fakta dikemukakan.
C4 kekal mempertahankan kebimbangan disuarakan serta antara antara lain menyoal bagaimana Yeo akan mengundi di Parlimen mengenai perkara yang tidak memenuhi kepentingan Kumpulan IOI, termasuk bagaimana beliau merangka perbahasan bajet membabitkan syarikat itu dan pemegang taruhnya.