Bayaran BKM Fasa 4 diawalkan bermula 15 Nov, kata PM

Bayaran BKM Fasa 4 diawalkan bermula 15 Nov, kata PM

Pembayaran itu pada asalnya dijadualkan dibuat pada Disember, namun dipercepatkan minggu depan bagi membantu penerimanya membuat persediaan menghadapi monsun timur laut.

Ismail Sabri Yaakob berkata, pembayaran BKM Fasa Empat bernilai RM2.1 bilion akan memanfaatkan 5.2 juta penerima. (Gambar Bernama)
BERA:
Pembayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa Empat bernilai RM2.1 bilion yang akan memanfaatkan 5.2 juta penerima, bakal dikreditkan ke akaun mereka secara berperingkat selama tiga hari bermula 15 Nov ini, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pembayaran itu pada asalnya dijadualkan dibuat pada Disember, namun dipercepatkan kepada minggu hadapan bagi membantu penerimanya membuat persediaan menghadapi monsun timur laut (MTL), yang dijadualkan bermula pada pertengahan bulan ini.

“Bagi BKM Fasa Empat, setiap penerima akan menerima sehingga RM900 mengikut kategori kelayakan masing-masing, dan pembayaran ini adalah bayaran akhir baki nilai yang sepatutnya diterima pada tahun ini.

“Mereka yang akan menerima bayaran ini terdiri daripada penerima sedia ada bagi kategori isi rumah dan warga emas bujang atau yang tiada pasangan,” katanya pada sidang media selepas Program Ramah Mesra di Kampung Batu Bor di sini hari ini.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata mereka yang layak menerima bantuan tersebut boleh menyemak status pembayaran bermula 15 Nov ini, selain boleh merujuk portal rasmi BKM di https://bkm.hasil.gov.my untuk maklumat lanjut pembayaran.

BKM adalah inisiatif bantuan tunai langsung yang telah diumumkan dalam Bajet 2022 bagi membantu mereka yang memerlukan untuk bangun semula pasca pandemik Covid-19 dan meringankan beban kos sara hidup rakyat Malaysia.

Secara keseluruhannya, RM8 bilion telah diperuntukkan untuk BKM yang memanfaatkan 8.7 juta penerima bagi tahun 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.