Tuisyen percuma, bantuan sehingga RM1,000 kepada anak Perak lanjut pengajian

Tuisyen percuma, bantuan sehingga RM1,000 kepada anak Perak lanjut pengajian

BN Perak akan mewujudkan pusat internet percuma di setiap DUN serta membina jalan perhubungan desa dan luar bandar sepanjang 500km berjumlah RM1.5 bilion.

Saarani Mohamad berkata BN juga berikrar untuk memperkasakan sistem asuhan dan pendidikan awal nasional percuma. (Gambar Bernama)
IPOH:
Merakyatkan pendidikan dengan memberi tuisyen percuma menerusi inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani yang akan diperluaskan di setiap DUN, antara ikrar BN Perak pada PRU15.

Pengerusi BN Perak Saarani Mohamad turut mengumumkan bantuan kewangan sebanyak RM1,000 secara one-off kepada anak tempatan yang sedang mengambil ijazah sarjana muda dan bantuan RM500 one-off kepada mahasiswa diploma.

Beliau berkata, BN Perak juga akan membangunkan agenda “1 warga 1 skill” dengan mewujudkan Majlis TVET Perak serta penubuhan konsortium pembangunan kemahiran profesional.

Selain itu, Saarani yang juga ketua Umno Perak berkata BN berikrar untuk memperkasakan sistem asuhan dan pendidikan awal nasional percuma kepada kanak-kanak enam tahun dan ke bawah, yang telah diumumkan BN pusat semalam.

Dalam pada itu, bagi memastikan kemudahan awam berkualiti bagi segenap lapisan masyarakat, BN Perak akan mewujudkan pusat internet percuma di setiap DUN serta membina jalan perhubungan desa dan luar bandar sepanjang 500km berjumlah RM1.5 bilion.

Di bawah inisiatif perumahan rakyat, Saarani berkata BN berikrar memperluaskan program rumah Perak sejahtera dengan sasaran membina 50,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun.

Sementara itu, di bawah aspek kesihatan, beliau turut menawarkan dana perubatan sinar sejahtera sebanyak RM500,000 untuk pembedahan katarak bagi warga emas.

Secara umumnya, manifesto BN Perak bertemakan “Kestabilan Demi Kesejahteraan” didukung lima usaha, disulami empat fokus dan menggariskan 75 inisiatif yang akan dilaksanakan sebaik saja mendapat mandat rakyat dalam PRU15.

Perak menjadi negeri pertama mengumumkan manifestonya sendiri selepas BN pusat mengumumkan manifestonya, Perancangan Amal dan Usaha BN (PADU) – tawaran baharu yang segar daripada BN kepada rakyat, mengandungi 99 amal dan usaha BN bagi mengemudi Malaysia ke arah negara maju.

Antaranya adalah skim “bantuan pendapatan asas” untuk pendapatan isi rumah kurang RM2,208 sebulan dan pendidikan pengajian tinggi percuma untuk pelajar B40.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.