
Wee mendakwa Lim, yang merupakan menteri kewangan ketika itu, menangguhkan projek berkenaan dengan meminta ia dibiayai swasta dan tidak menggunakan dana kerajaan dalam Bajet 2018.
Menteri pengangkutan sementara itu turut mencabar Lim berdebat mengenai isu itu.
Lim dan beberapa pemimpin Pakatan harapan (PH) membalas kenyataan Wee dengan mendakwa beliau yang membatalkan projek itu selepas menjadi menteri pengangkutan, susulan Langkah Sheraton pada 2020. Wee menafikan dakwaan itu.
Hari ini, Lim menafikan dakwaan Wee dan berkata, kerajaan BN yang menyediakan Bajet 2018 tidak memperuntukkan dana untuk projek pembesaran LTAPP.
Katanya, ketika menjadi menteri kewangan, beliau meminta projek itu diperluaskan daripada cadangan kapasiti 12 juta kepada 16 juta penumpang setahun, serta boleh diperluaskan kepada 20 juta penumpang setahun pada masa depan.
Ketika ini, LTAPP boleh menampung 6.5 juta penumpang setahun, tetapi ia beroperasi melebihi kapasiti dengan lebih 8 juta penumpang menggunakannya setiap tahun.
“Sekiranya kita teruskan dengan 12 juta penumpang setahun seperti dicadangkan kerajaan BN sebelum ini, apabila diperluaskan, ia akan melebihi kapasiti lagi. Peruntukan bajet yang disebut Wee sebenarnya tidak wujud, ia adalah khayalannya.
“Kini, sekiranya ada dana diperuntukkan, kenapa Malaysia Airports Holdings Bhd (pengendali LTAPP) meminta kebenaran yang diperlukan daripada majlis bandaraya.
“Realitinya, apabila Wee menjadi menteri pengangkutan, beliau membatalkan projek itu atas alasan kajian penerbangan. Beliau membuat dakwaan berniat jahat dan fitnah dengan menuduh saya punca kelewatan itu. Saya sedia berdebat dengan Wee di TV secara langsung,” katanya kepada FMT.
Lim berkata, dakwaan Wee bahawa projek itu ditangguhkan kerana tekanan didorong pandemik ke atas MAHB tidak benar.
Menurutnya, MAHB memohon kelulusan majlis bandaraya untuk pembesaran lapangan terbang itu kepada 12 juta penumpang setahun, yang diluluskan pada Disember 2019. Katanya, MAHB mahu membesarkan LTAPP kerana ia antara lapangan terbang paling menguntungkan di negara ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, alasan pandemik yang diberikan Wee untuk menangguhkan projek pembesaran LTAPP tidak wajar kerana projek infrastruktur penting lain di Lembah Klang diteruskan selepas perintah berkurung.
“Projek MRT2 dan projek lain diteruskan seperti biasa. Adakah projek di Lembah Klang lebih penting daripada projek di Pulau Pinang,” soalnya.