Saya nak jadi PM suatu hari nanti, kata KJ

Saya nak jadi PM suatu hari nanti, kata KJ

Namun, kata bekas menteri kesihatan itu, beliau terlebih dahulu perlu menang di kerusi Sungai Buloh pada PRU15 nanti.

Khairy Jamaluddin turut berkata, beliau boleh mengetengahkan isu tempatan menggunakan akaun media sosialnya yang mempunyai lebih lima juta pengikut.
PETALING JAYA:
Bekas Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata, beliau bersedia untuk memimpin negara dan menjadi perdana menteri.

Bekas menteri kesihatan itu berkata, ini masa yang tepat untuk mengisytiharkan hasratnya menjadi pemimpin kerajaan.

“Suatu hari nanti saya nak jadi perdana menteri, untuk kita bangunkan negara ini. Tetapi saya mesti menang di sini (Sungai Buloh) dulu,” katanya pada satu ceramah kempen pilihan raya di Taman Saujana Utama.

“Saya dah sedia, tetapi saya kena buktikan di Sungai Buloh ini dulu. Jika orang Sungai Buloh sokong saya, saya boleh maklumkan kepada org parti, saya datang ke kandang naga.”

Beliau berkata, ini kali pertama beliau menyuarakan hasratnya itu dengan lantang.

“Tak pernah saya cakap (hasrat ini). Kalau saya cakap itu semua, Majlis Kerja Tertinggi (Umno) nak kerat saya,” katanya.

“Tetapi saya rasa sudah sampai masanya (untuk menyuarakan hasrat ini). Bukan sekarang lah (jadi perdana menteri). Sekarang ini, jika (BN) menang, Ismail Sabri Yaakob akan jadi perdana menteri.”

Pada ceramah itu, Khairy turut mendedahkan bagaimana beliau meyakinkan kerajaan Singapura untuk membuka semula sempadannya dengan Malaysia.

Katanya, beliau berjaya meyakinkan menteri kesihatan Singapura yang kemudiannya menyampaikan pandangannya kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

“Petang itu, Singapura mengumumkan akan buka sempadan. Saya nak beritahu anda, ini untuk menunjukkan bahawa saya boleh buat kerja.

“Saya akan jadi ‘pembesar suara’ anda yang paling lantang,” katanya kepada orang ramai yang hadir pada ceramah itu.

Tambahnya, beliau boleh mengetengahkan isu tempatan menggunakan akaun media sosialnya yang mempunyai lebih lima juta pengikut.

“Jika berlaku banjir, saya akan guna media sosial saya dan kata kepada menteri besar, ‘datang dan betulkan keadaan ini sekarang’,” katanya disambut sorakan daripada orang ramai.

Di Parlimen Sungai Buloh, Khairy berdepan R Ramanan daripada Pakatan Harapan (PH); Ghazali Hamin (Perikatan Nasional), dan Akmal Yusoff (Pejuang) pada pilihan raya umum 19 Nov nanti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.