Ramanan pertahan tindakan tak dedah butiran aset

Ramanan pertahan tindakan tak dedah butiran aset

Calon PKR bagi kerusi Parlimen Sungai Buloh itu menegaskan bahawa pengundi tidak perlu mengetahui jumlah dan jenis aset yang dipegangnya.

R Ramanan menegaskan bahawa tiada apa yang perlu disembunyikan berhubung asetnya.
SHAH ALAM:
Calon PKR di Parlimen Sungai Buloh R Ramanan menegaskan beliau telah memberikan “pecahan aset yang betul” apabila persoalan timbul mengenai kekurangan butiran dalam pengisytiharan asetnya.

“Saya sudah isytihar apa yang saya ada, apa yang nak disembunyikan? Itulah pengisytiharannya. Tiada apa yang perlu disembunyikan, saya telah beri pecahan yang sepatutnya,” katanya kepada FMT.

“Anda ada akses penuh kepada pengisytiharan saya dalam talian. Malah Forbes hanya menyenaraikan nilai bersih individu seperti Bill Gates. Mereka tidak tanya berapa banyak kapal dan kapal layar yang beliau ada.”

Ramanan, yang berdepan pertembungan tujuh penjuru yang menampilkan calon BN Khairy Jamaluddin, menjadi perhatian warganet berhubung pengisytiharan yang tidak disertakan butiran terperinci mengenai asetnya, hanya nilai keseluruhan.

Sebagai perbandingan, calon PKR lain seperti Wong Chen (Subang) dan Fahmi Fadzil (Lembah Pantai) telah menyenaraikan butiran aset dan liabiliti mereka, termasuk kenderaan, jam tangan, karya seni, elaun, saham dan pinjaman mereka, antara lainnya. Nilai, kuantiti dan jenama aset mereka turut dinyatakan.

Ditanya mengenai ketiadaan butiran mengenai asetnya, Raman berkata, beliau mempunyai banyak aset.

“Bagaimana nak senaraikan semua aset saya? Saya ada 13 motosikal (dan beberapa) kereta,” katanya sambil menambah, beliau mengisi borang itu bersama akauntannya.

“Tidak ada seorang pengundi pun bertanya jenis kereta yang saya pandu. Ini bukan kriteria utama untuk pengundi apabila memilih (wakil rakyat),” katanya.

Mengenai mengapa beliau tidak mencontohi pemimpin PKR lain dalam mengisytiharkan aset secara terperinci, Ramanan menegaskan bahawa pengundi tidak perlu mengetahui jumlah dan jenis aset yang dipegangnya.

Berdasarkan pengisytiharan aset calon PKR yang dimuat naik di laman web, Ramanan mempunyai aset bersih RM63.5 juta ditolak liabiliti yang terdiri daripada wang tunai dan simpanan RM23 juta, tanah dan rumah (RM27 juta), pelaburan (RM3.5 juta), barang kemas dan karya seni ( RM4 juta), kenderaan (RM8.5 juta) dan hutang (RM2.5 juta).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.