Prasarana tak yakin operasi tren manual, kata Wee

Prasarana tak yakin operasi tren manual, kata Wee

Menteri pengangkutan sementara itu berkata, tiada kompromi apabila membabitkan keselamatan pengguna.

Calon Barisan Nasional di Ayer Hitam, Wee Ka Siong menemui penyokong di Raub, Pahang. (Gambar Facebook)
AYER HITAM:
Menteri Pengangkutan sementara, Wee Ka Siong berkata, pengendali rel Prasarana Malaysia Bhd tidak yakin mengoperasikan tren LRT secara manual, susulan gangguan yang membawa kepada penutupan 16 stesen.

Wee berkata, pengoperasian tren secara manual merupakan pilihan kedua.

“Tetapi, Prasarana tidak yakin melakukannya, jadi kami tidak berbuat demikian,” katanya ketika ditemui semasa berkempen.

Rapid KL menutup 16 stesen LRT sepanjang laluan Kelana Jaya selama seminggu mulai hari ini, selepas gangguan perkhidmatan semalam akibat masalah sistem kawalan tren automatik (ATC). Laluan Kelana Jaya turut mengalami masalah sama Isnin lalu, yang mengakibatkan gangguan perkhidmatan.

Rapid KL adalah anak syarikat Prasarana.

Wee meminta maaf kepada orang ramai atas kesulitan yang berlaku.

“Walaupun perkara ini bukan sepenuhnya di bawah skop saya, namun sebagai sebahagian daripada kerajaan, saya perlu memohon maaf kepada umum,” katanya merujuk fakta bahawa Prasarana dimiliki Kementerian Kewangan.

Wee berkata, walaupun penutupan stesen “tidak sepatutnya berlaku”, Kementerian Pengangkutan yang mengawal perkhidmatan berkenaan tidak mahu berkompromi apabila membabitkan keselamatan pengguna.

Ditanya sama ada kejadian itu akan menjejaskan kempennya, Wee berkata, ia isu berasingan.

“Ini kegagalan teknikal.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.