Prasarana mahu beri pampasan pada penumpang LRT terjejas

Prasarana mahu beri pampasan pada penumpang LRT terjejas

Pengendali rel itu juga memohon maaf kepada penumpang terjejas akibat gangguan perkhidmatan tren.

Penumpang LRT terjejas susulan penutupan 6 stesen di sepanjang laluan LRT Kelana Jaya selama seminggu mulai hari ini.
PETALING JAYA:
Prasarana sedang mengkaji bagaimana ia boleh memberi pampasan dan bayaran balik kepada penumpang yang terjejas akibat gangguan di sepanjang laluan LRT Kelana Jaya.

Rapid KL telah menutup 16 stesen di sepanjang laluan LRT Kelana Jaya selama seminggu mulai hari ini, selepas ia ditutup semalam akibat kerosakan sistem kawalan tren automatik (ATC). Laluan LRT Kelana Jaya turut terjejas oleh masalah sama pada Isnin hingga mengganggu perkhidmatan harian.

“Kami memohon maaf kepada semua penumpang yang terjejas,” kata presiden Prasarana merangkap ketua pegawai eksekutif kumpulan Azharuddin Mat Sah pada sidang media.

“Sudah tentu. Kami akan membincangkannya dan kembali kepada media mengenai perkara ini,” katanya ketika ditanya sama ada Rapid Rail akan memberikan sebarang pampasan atau bayaran balik kepada penumpang, terutama mereka yang telah membeli pas My50 bulanan.

Rapid Rail ialah anak syarikat Prasarana yang mengurus dan mengendalikan rangkaian LRT dan KL Monorail.

Azharuddin berkata stesen itu ditutup kerana kerosakan sistem ATC.

Bagaimanapun, beliau berkata, mereka masih belum menentukan punca kerosakan sistem ATC, sambil menambah inilah punca stesen ditutup selama seminggu.

“Kami telah menjemput pakar pengeluar peralatan asal (OEM) Thales Group dari Kanada untuk datang ke Malaysia mencari penyelesaian jangka pendek dan panjang,” katanya.

Azharuddin juga berkata, sudah tiba masanya laluan LRT Kelana Jaya dinaik taraf, sambil menambah bahawa Prasarana sudah mempunyai rancangan ke arah itu.

“Laluan LRT Kelana Jaya telah beroperasi selama hampir 25 tahun, (jadi) ia adalah sistem telah berusia yang memerlukan penggantian untuk semua bahagian (mekanikal).” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.