Pemandu teksi kekal dipenjara 10 tahun seludup warga Indonesia

Pemandu teksi kekal dipenjara 10 tahun seludup warga Indonesia

Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Zulkifli Muhamad yang mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi kerana menyeludup 24 warga Indonesia pada April 2020.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menolak rayuan Zulkifli Muhamad untuk mengurangkan hukuman penjara.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman 10 tahun penjara ke atas seorang pemandu teksi yang mengaku bersalah menyeludup 24 imigran warga Indonesia.

Hakim tiga panel terdiri daripada Hanipah Farikullah, Ahmad Nasfy Yasin dan Nordin Hassan menolak rayuan Zulkifli Muhamad untuk mengurangkan tempoh hukuman penjaranya.

Zulkifli, 57, mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi atas kesalahan menyeludup imigran di Ladang Kurnia, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor pada 8 malam, 11 April, 2020 dan dijatuhkan hukuman 10 tahun penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 16 April, 2020.

Dia didakwa di Mahkamah Tinggi Johor Bahru bersama enam individu lain atas kesalahan itu. Zulkifli dan empat individu mengaku bersalah, manakala dua lagi tertuduh meminta dibicara.

Menurut fakta kes, Zulkifli membawa warga Indonesia itu daripada sebuah rumah yang digunakan sebagai tempat transit sebelum menghantar mereka pulang ke negara asal dengan sebuah bot, selepas imigran terbabit membayar sejumlah wang.

Kesemua warga Indonesia itu didakwa di mahkamah kerana tidak mempunyai dokumen yang sah dan masing-masing dihukum penjara dua tahun. Mereka dihantar pulang ke Indonesia setelah selesai menjalani hukuman.

Zulkifli diwakili peguam Bustaman Menon Abdul Hamid Menon manakala Timbalan Pendakwa Raya How May Ling hadir bagi pendakwaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.