Staf Invoke dapat saham bila syarikat masuk bursa, kata Rafizi

Staf Invoke dapat saham bila syarikat masuk bursa, kata Rafizi

Timbalan presiden PKR berkata pekerja Invoke terdiri daripada 150 anak muda berpendidikan tinggi yang banyak berkorban untuk syarikat itu.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata anak muda di Invoke membawa syarikat sehingga ke nilaian berpuluh juta dalam masa dua tahun.
PETALING JAYA:
Pekerja Invoke akan mendapat saham syarikat itu apabila ia disenaraikan di bursa nanti, kata Rafizi Ramli pengasas firma analisis data itu.

Rafizi yang juga timbalan presiden PKR berkata, pemberian saham itu adalah ganjaran kepada kerja keras 150 pekerjanya yang terdiri daripada anak muda yang berkelulusan tinggi.

“Anak-anak muda di Invoke telah membawa syarikat sehingga ke nilaian berpuluh juta dalam masa dua tahun.

“Bila Invoke disenaraikan, mereka semua ada saham, dan mereka boleh hidup selesa di masa muda,” katanya di Facebook.

Minggu lalu, Rafizi yang bertanding di Parlimen Pandan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) mengisytiharkan aset bersih berjumlah RM18 juta termasuk RM16 juta saham dan pelaburan dalam Invoke.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Abdul Latiff Ahmad kemudian meminta Rafizi menerangkan mengapa hanya ada 14 pemegang saham dalam syarikat itu, termasuk Rafizi yang menjadi pemegang saham terbesar.

Menurut Latiff, Rafizi pada 2017 pernah berkata, syarikat itu akan memberikan saham kepada pekerja Invoke yang katanya “banyak berkorban” untuk syarikat itu.

Rafizi berkata, pengagihan saham sebagai ganjaran kepada pekerjanya dengan syarat mereka mesti “pandai, kreatif, rajin, berani dan jujur”.

Menurutnya, Invoke memiliki pekerja seramai 150 orang yang berusia dalam lingkungan 22 hingga 27 tahun di mana 70% daripadanya bangsa Melayu.

“Mereka anak muda yang berkelulusan tinggi. 30% mendapat semua A semasa SPM dan banyak ijazah kelas pertama dari universiti terkenal di seluruh dunia termasuk Cambridge, Oxford, Cornell, UCL dan banyak lagi.

“Semua mereka pakar dalam bidang sains data, kejuruteraan perisian, pemasaran digital, dan seni kreatif digital,” katanya.

Selepas Rafizi mengisytiharkan asetnya, seorang lagi pemimpin Bersatu yang juga bekas penyandang kerusi Parlimen Batu Pahat, Rashid Hasnon mengatakan Invoke ditubuhkan sebagai organisasi bukan berasaskan keuntungan dan bukannya untuk menguntungkan sesiapa.

Katanya, kenyataan Rafizi di laman sesawang Invoke sendiri menunjukkan syarikat itu tidak boleh menggunakan keuntungannya sebagai laba, bermakna ia tidak boleh memberi keuntungan kepada pemegang saham.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.