Fahmi ragui komitmen BN tawar 3 jawatan TPM

Fahmi ragui komitmen BN tawar 3 jawatan TPM

Ketua Penerangan PKR turut meluahkan rasa terkejut dengan ‘poster boy’ Ismail Sabri Yaakob yang langsung tidak sentuh dalam manifesto BN.

Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil menganggap tawaran tiga TPM itu bukan komitmen 100% BN kerana ia sebab tidak dimasukkan secara jelas dalam manifesto.
KUALA LUMPUR:
Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil meragui komitmen Barisan Nasional (BN) mengenai isu jawatan tiga timbalan perdana menteri dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung, yang tidak dinyatakan dalam manifesto parti itu semalam.

“Kita boleh anggap yang itu bukan komitmen 100% oleh parti itu sebab tidak dimasukkan secara jelas dalam manifesto.

“Sebaliknya ia hanya sekadar ‘sebutan’ pengerusi Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam satu program sebelum itu.” katanya dalam sidang media di PPR Kerinci, Kuala Lumpur.

Hari ini, Zahid mengesahkan jawatan tiga timbalan perdana menteri masih lagi ditawarkan jika BN menang PRU15, meskipun tidak dinyatakan dalam manifesto semalam kerana cadangan itu telah diumumkan lebih awal.

Katanya, dalam Perlembagaan Malaysia, tidak wujud jawatan timbalan perdana menteri, justeru itu adalah tawaran baharu yang dicadangkan untuk dilaksanakan agar ada peningkatan kuasa menteri dari Sarawak dan Sabah.

Terdahulu, Zahid dilaporkan berkata, Sabah bakal mempunyai timbalan perdana menteri pertama sekiranya parti itu berjaya menawan Putrajaya dalam PRU15.

Sementara itu, Fahmi turut meluahkan rasa terkejut dengan ‘poster boy’ BN, Ismail Sabri Yaakob yang langsung tidak disentuh dalam manifesto itu.

Katanya, ini memberi satu signal politik berterusan timbulnya persoalan calon perdana menteri parti itu yang sebenarnya.

“Sebenarnya manifesto adalah peluang yang sangat baik bagi ‘mematikan’ isu ini, malah mereka (BN) tidak berbuat demikian.

“Berbeza dengan parti itu, PH lebih realistik kerana yang melancarkan manifesto adalah Anwar Ibrahim selaku pengerusi dan calon perdana menteri bagi parti kami,” katanya.

Sebelum itu, wujudnya dakwaan bahawa BN mungkin tidak mengotakan janji mereka sekalipun memenangi pilihan raya, malah menguar-uarkan satu undi untuk BN adalah undi untuk Zahid menjadi perdana menteri, sungguhpun Ismail mengesahkan beliau masih calon perdana menteri bagi parti itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.